TERKINI :

Friday, February 19, 2016

Isu pekerja asing: Rakyat atau pemimpin malas?

SHAH ALAM – Pas menyifatkan rakyat kita sanggup bekerja dalam sektor 3D (kotor, sukar, bahaya) sekiranya gaji yang dibayar sesuai dengan taraf hidup di negara ini.

Naib Presidennya, Idris Ahmad berkata, kerajaan tidak rugi sekiranya menetapkan gaji minimum yang selesa untuk menarik minat rakyat ini.

“Mereka akan berbelanja di dalam negara ini juga. Ini baik untuk perkembangan ekonomi. Apa makna kita menggajikan warga asing dan mereka menghantar wang (ke negara mereka) dan tidak berbelanja di negara ini. Adakah baik untuk negara?

“Pemimpin negara ini boleh pergi tunggu di Tambak Johor pada waktu pagi, berpuluh ribu rakyat Malaysia bekerja di Singapura. Adakah rakyat Malaysia pemalas? Sudah tentu ada sebabnya mereka ke Singapura. Tidak lain dan tidak bukan kerana kadar upahnya tinggi,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau sendiri telah melihat bagaimana pekerja di R&R Bukit Gantang di mana majoritinya ialah penduduk tempatan daripada tukang cuci hingga pelayan kedai makan.

“Kenapa mereka mahu bekerja di situ, jawapannya kerana diberi peluang. Kalau membuat tuduhan rakyat negara ini malas dan tidak mahu bekerja...maka inilah tugas kerajaan untuk melatih dan memberi motivasi supaya mereka ini bekerja.

“Benarkah rakyat Malaysia malas? Benarkah rakyat Malaysia tidak bertenaga? Benarkah rakyat Malaysia manja? Mungkin ada segelintir yang bersifat demikian. Mana negara pun ada rakyat yang malas tapi majoritinya masih rajin. Telahan boleh dibuat ialah pemimpin yang malas berfikir untuk kesenangan rakyat dan menjadi pemudah cara untuk kesenangan rakyat, bukannya rakyat yang malas,” katanya.

Tambahnya, musibah akan menimpa negara apabila mendapat pemimpin yang malas berfikir untuk kebaikan rakyat.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...