TERKINI :

Sunday, February 7, 2016

Exco Kedah : Kekal muka lama atau ganti


ALOR SETAR - Proses menukar nakhoda kapal sudah selesai dan kini semua orang ternanti-nanti untuk melihat siapa yang akan dilantik sebagai exco untuk sama-sama berganding bahu dengan Menteri Besar baharu, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah melayari Kedah ke era yang lebih cemerlang seperti yang dijanjikan.

Bashah
Belum tahu bila mereka akan dilantik dan mengangkat sumpah menerima jawatan. Paling awal mungkin Rabu atau Khamis minggu hadapan sebab cuti umum Tahun Baru Cina pada Isnin dan Selasa.

Mungkin dalam tempoh itu akan memberi ruang kepada Ahmad Bashah untuk melihat, memikir dan menilai calon yang sesuai untuk bersama-samanya melakar perancangan dan melaksanakan pelbagai program untuk rakyat dalam tempoh dua tahun akan datang sebelum tiba detik penentuan untuk dinilai semula pengundi dalam PRU14.

Pemilihan calon exco penting kerana ia akan menentukan kejayaan program dan pembangunan yang bakal dilaksanakan di Kedah dan jatuh bangun Ahmad Bashah dalam politik negeri ini.

Jika berjaya, pasti akan dikongsi bersama dengan semua rakyat tetap jika gagal, semua jari akan menuding kepada MB sebagai sasarannya.

Adakah muka lama akan kekal seperti yang disarankan beberapa exco yang berkhidmat pada era Datuk Seri Mukhriz Mahathir termasuk Adun Ayer Hangat, Datuk Mohd Rawi Abdul Hamid.

Beliau berpendapat exco yang sudah berkhidmat sejak tiga tahun lalu wajar dikekalkan agar segala perancangan berjalan dengan lancar.

Ada juga yang menyerahkan nasib dan masa depan mereka kepada takdir dan MB baharu untuk menentukannnya.

Namun, ada juga tidak kisah - jika kekal akan jalankan tugas seperti biasa.Jika digugurkan masih terus berkhidmat sebagai Adun di kawasan dan mungkin lebih masa dengan pengundi.

Ketika berbual malam kelmarin, seorang Adun berkata sewajarnya exco baharu dilantik untuk menjalankan tugas dengan kepimpinan baharu bagi menjamin kelicinan semua urusan.

“Kepala dah baharu, jadi badan pun kena baharu. Kalau masih guna badan yang lama sudah pasti keadaan akan menjadi pincang.

“Kepimpinan lama ada caranya dan saya yakin MB baharu pun ada cara tersendiri untuk mentadbir.

“Jadi biarlah barisan baharu diberi peluang menjadi exco agar semuanya menjadi mudah,” katanya.

Menurutnya, exco lama sudah berkhidmat selama tiga tahun dan biarlah muka baharu pula ditonjolkan untuk menunjukkan kebolehannya.

“Exco lama dah buat kerja dan biar rakyat menilai sama ada mereka sudah melakukan yang terbaik dalam tempoh itu,” katanya.

Bagaimanapun, satu sumber memberitahu Ahmad Bashah mungkin mengambil pendekatan sederhana dan berhemah untuk meredakan keadaan yang masih belum stabil, terutama dalam kalangan penyokong Mukhriz.

Dengan kekalkan sebahagian exco sedia ada mungkin menyejukkan keadaan dan dapat mengelak tanggapan dan amalan balas dendam dalam politik Umno.

“Memang boleh buat tindakan drastik dengan menggugurkan semua exco yang berkhidmat dalam pentadbiran Mukhriz, terutama yang menjadi penyokong kuat hingga saat akhir.

“Tetapi apa faedahnya berbuat demikian. Ini masalah dalaman Umno Kedah sahaja dan semuanya macam adik beradik. Tidak perlu sampai mengambil tindakan melampau kerana Umno juga yang rugi akhirnya,” katanya.

Melihat kepada reaksi Ahmad Bashah selepas majlis angkat sumpah terima jawatan pagi kelmarin, mungkin ramai menjangkakan tidak banyak perubahan akan berlaku dalam sususan exco kali ini.

Bagaimanapun, antara ciri yang diperlukan oleh Ahmad Bashah ialah individu itu perlu berdedikasi serta bertanggungjwab untuk menggalas amanah yang diberikan.

DItanya akan berlaku rombakan, MB baharu itu berkata akan meneliti semua perkara terlebih dahulu.

“Rombakan atau tambahan exco saya kena tengok dahulu, mungkin ada exco yang setia kepada Mukhriz apabila kita tawarkan semula jawatan dia akan tolak,” katanya.

Berdasarkan percaturan semasa, seorang veteran Umno menjangkakan sebahagian besar exco sedia akan dikekalkan kerana pengalaman mereka masih diperlukan untuk bantu Ahmad Bashah mantapkan pentadbiran negeri.

Ini termasuk Adun Guar Chempedak, Datuk Dr Ku Rahman Ku Ismail, Adun Tanjong Dawai, Datuk Tajul Urus Mat Zain, Adun Ayer Hangat, Datuk Mohd Rawi Abdul Hamid, Adun Kuala Nerang, Datuk Badrol Hisham Hashim dan Adun Belantek, Datuk Mohd Tajudin Abdullah.

Muka baharu yang mungkin disenaraikan ialah Adun Bukit Kayu Hitam, Datuk Ahmad Zaini Japar, Adun Bukit Lada, Datuk Ahmad Lebai Sudin Pinang dan Adun Pedu, Kama Noriah Ibrahim.

Wakil tunggal MCA yang juga Adun Gurun, Datuk Dr Leong Yong Kong akan kekal dengan status quo.

Exco yang mungkin digugurkan ialah Adun Jitra, Datuk Aminuddin Omar, Adun Sungai Tiang, Datuk Suraya Yaakob dan Adun Bandar Baharu, Datin Norsabrina Mohd Noor.

Namun, satu lagi kerusi exco yang kosong sebelum ini belum pasti diisi atau dibiarkan begitu sahaja bagi menjimatkan perbelanjaan.

“Jika nak penuhi kehendak penyokong kuatnya, apa salah nya jawatan itu diisi dan diberikan kepada salah seorang yang terlibat aktif dalam menjayakan sidang media di Hotel Alora pada 20 Januari lalu,” katanya.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...