TERKINI :

Sunday, February 21, 2016

Dana RM2.6 billion dan MH370..???

SELOKA SORE


Wang dana RM2.6 billion yang tidak dinafikan Najib Razak ianya dimasukkan ke dalam akaun peribadinya menjadi satu seloka perkara benar yang berlaku dalam negara ini. Kenapa dikatakan seloka sebab perbicaraan mengenainya ada kalanya penuh sinisme, lelucoh dan memelikkan.

Buat masa ini kejadian ini suatu seloka yang sama tarafnya dengan nasib pesawat Mas MH370 yang hilang dan masih belum dijumpai sampai kini yang juga sudah menjadi seloka.

Rakyat Malaysia teringat-ingat akan pesawat berkenaan, apa lagi daripada kalangan anggota yang waris warahnya menjadi mangsa. Mereka bermimpi-mimpi dan berharap pesawat malang itu akan ditemui dan semua yang berada dalam pesawat itu pulang dengan selamat penuh dengan girang gembira.

Mereka juga mencari-cari dan tercari-cari pesawat itu. Ia jadi igauan dan phobia. Ia jadi mimpi dan harapan. Sebab itulah pantang ada berita penemuan serpihan besi buruk hanyut atau bersepahan yang berupa anggota pesawat dilaporkan, mereka akan obses dan mendoakan semoga ianya adalah bangkai pesawat itu. Mereka mahukan kepastian. Itu sahaja, kandati pun harapan untuk mangsa hidup sudah musnah.

Sebenarnya para penanti kepulangan penumpang dan pesawat MH370 berada dalam keadaan "gila", sakit ataupun tidak siuman lagi. Trauma usah dikiralah. Semuanya kerana tidak ada penamatan berhubung kehilangan misteri itu. Kerajaan sendiri, sebagai sebuah kuasa yang berhak menentu dan menamatkan kejadian itu hanya menyebut, pesawat itu berakhir di lautan Hindi. Satu pengumuman yang penuh dengan ketidakpastian dan tidak bertanggungjawab.

Dalam kata lain tidak ada kemuktamadan yang sebenar.

Nah, begitu juga dengan nasib wang derma RM2.6 billion yang membabitkan manusia bernama Najib Razak. Wang itu menjadi satu penyakit dan bala besar kepada orang-orang politik di negara ini termasuk Najib sendiri. Gara-gara kedudukan wang itu misteri dan pelik, (tetapi ia benar), menyebabkan ia menatijahkan beberapa perkara yang tidak sepatutnya berlaku dan mendukacitakan.

Misalnya kedudukan dan nasib Muhyiddin Yassin sebagai timbalan perdana menteri, punah jaham kerana wang dana berkenaan. Sebabnya, bekas TPM itu mengungkit wang itu kepada Najib, menyoal kenapa wang sebanyak itu dimasukkan ke dalam akuan peribadi. Tujuan Muhyiddin baik untuk memelihara integriti seorang PM, tetapi disalah anggap oleh Najib. Niat baik itu berlaku sebaliknya.

Najib tersinggung dan mula berprasangka yang Muhyiddin cuba menyusahkannya atau tidak mempercayainya. Kenapa? Mungkin adakah Najib benar melakukan kesalahan? Akhirnya jalan mudah penuh berani diambil Najib dengan pecat Muhyiddin sebagai TPM dan digantikan dengan pemujanya Zahid Hamidi. Najib mengira pelan itu berjaya, tetapi ia memberi implikasi dan rentetan politik panjang yang mengangguinya.

Bukan sahaja Muhyiddin terkena dengan badi wang dana RM 2.6 billion itu. Anak jantan bongsu Dr Mahathir, Mukhriz juga menerima nasib sama. Kedudukan Mukhriz sebagai MB Kedah terpelanting menerusi satu pemberontakan yang direstui Najib. Sebab dan alasannya sama, Mukhriz mempertikaikan wang berkenaan.

Walaupun kritikan terhadap Najib itu memakan dua mangsa, termasuk kritikan wang dana itu, tetapi kesudahan wang dana itu masih belum muktamad. Ia masih misteri sama seperti MH370 itu. Belum diketahui dari mana dan siapa yang bermurah hati menyalurkan wang sebanyak itu kepada Najib dan ianya untuk apa.

Maksud wang itu juga berbagai-bagai dan berbunga-bunga. Mulanya untuk menghadapi pengganasan IS, membenteras fahami Wahbi, kemudian dicelah-celah itu diselokai kononnya untuk perbelanjaan pilihan raya. Kesamaran dan kesimpangsiuran itu menyebabkan orang bertanya dan bertanya mengenai kesahihan dan kesucian wang berkenaan. Dan paling melucukan apabila lebihan wang itu dikembalikan semula kepada si pemberinya. Pelik.

Mulanya dikecurkan wang itu adalah derma dari kerabat di Raja Arab Saudi. Reda sekejap. Walaupun orang sedia menerima ada raja Arab yang gila, "gong" dan "ngor" untuk berikan Najib sebanyak itu tanpa sebarang kontra, tetapi lama-lama kelamaan kesangsian terbit kembali. Orang waras dan bertanya semula sejauh mana kebenarannya. Terbaharu kononnya wang itu bukan daripada kerabat di Raja Arab tetapi daripada 1MDB? Pulak.

Sebelum ini pun orang sudah menuduh dan menyangkakan wang dana itu adalah daripada komisyen atau rasuah daripada projek 1MDB. Tetapi Najib dengan juak-juaknya dapat menghentikan cerita sekejap, menolak prasangka itu. Sandiwara dicipta begitu rupa untuk menyakinkan sehingga menggunakan jabatan negara yang berprestaj untuk menutupnya. Disamping mengaut wang itu rakyat dilena dan dinyanyikan dengan pemberian one off BR1M dan sebagainya.

Semua ianya dimulakan oleh sebuah portal Sarawak Report yang memetik laporan The Wall Street Jorunal's (WSJ) yang mendedahkan tembelang busuk itu. Najib bukan main lagi bangkit dan bangun membantah laporan itu dan menegaskan akan menyaman WSJ setelah menyekat portal Sarawak Report. Hari yang ditetapkan Najib untuk saman WSJ ialah pada hari kelahiran anak lembu Merah, itu Selesa. Namun sehinggakan kini sudah silih berganti Selasa pergi dan mari, tetapi Najib masih belum menyaman WSJ.

Ketidaksanggupan Najib untuk menyamankan akhbar tertua di England itu menjadi bahan ketawa dan ejekan. Orang melihat perdana menteri Malaysia pengecut dan tidak mempunyai "batu" yang sama gagah. Sebagai meredakan keadaan dan menyakinkan rakyat Malaysia dan penyerangnya, Najib dengan kuasa yang ada kepadanya mengambil beberapa tindakan drastik dan dilihat ganjil mengawal negara. Ini termasuk menganggu SPRM yang menjalankan siasatan terhadap kes membabitkannya, dan kemuncaknya ialah dengan menukar Peguam Negara.

Peguam Negara secara tektikal telah membuat beberapa keputusan memihakkan Najib dan melindunginya. Salah satu tindakan tidak bermaruah dan menjadi persoalan umum ialah mengistyharkan bahawa Najib tidak melakukan apa-apa kesalahan terhadap wang dana berkenaan dan juga berhubung sejumlah RM42 juta wang yang dikaitan dengan milik SRC International yang didakwa disalurkan meneruskan akaun Najib.

Demikian apa yang berlaku terhadap Najib dengan wang dana sebanyak RM2.6 billion. Ianya salin tidak tumpah dengan isu kehilangan pesawat Mas MH370. Ia melucukan, memelik dan menjadikan rakyat negara ini terus tertanya-tanya dan tersoal-soal seperti mitos kenapa sang anjing marahkan kucing! [wm.kl.5:07 pm 19/02/16]

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...