TERKINI :

Monday, February 22, 2016

Cermin Gelap - Apa rasionalnya menaikkan hukuman sampai penjara tidak lebih 6 bulan..penjenayahkah mereka??

PERATURAN BARU CERMIN GELAP – APA RASIONAL MENAIKKAN HUKUMAN?


Pada 5 Februari 2016, Kementerian Pengangkutan telah mewartakan Kaedah-Kaedah Kenderaan Motor (Larangan Mengenai Jenis-Jenis Kaca Tertentu) (Pindaan) 2016 bagi menggantikan peraturan lama di bawah Kaedah-Kaedah Kenderaan Motor (Larangan Mengenai Jenis-Jenis Kaca Tertentu) 1991. Mengikut Peraturan 1 (2) Kaedah baru 2016 ini mula berkuatkuasa pada 6 Februari 2016.

Kaedah baru ini adalah hasil Bengkel Khas Kajian Semula Penggunaan Cermin Gelap Kenderaan yang telah dianjurkan oleh Kementerian Pengangkutan selama dua (2) hari di Glenmarie, Shah Alam pada 2 dan 3 Jun 2014. Bengkel tersebut juga dikendalikan sendiri oleh Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Ab Aziz Kaprawi.

Isu utama yang dibincangkan ialah mengenai kadar ketelusan cahaya (VLT) bagi kenderaan. Majoriti peserta bercakap berkaitan isu tersebut dan meminta Kementerian meminda Kaedah sedia ada dan secara tidak rasmi bersetuju kadar ketelusan cahaya bagi kenderaan adalah seperti yang diwartakan di dalam Kaedah baru.

Rujukan kepada Peraturan 5 Kaedah baru jelas bahawa keputusan Bengkel digunapakai di mana kadar ketelusan cahaya bagi cermin hadapan hendaklah sekurang-kurangnya 70% manakala bagi cermin sisi hadapan sebanyak 50% dan bagi cermin sisi belakang serta cermin belakang 30%. Peraturan 5 Kaedah lama ketelusan cahaya bagi cermin hadapan ialah 70% manakala cermin-cermin lainnya ialah 50%.

Apabila Kaedah baru dihebahkan, ramai pengguna merungut bukan mengenai kadar ketelusan tetapi mengenai pindaan Peraturan 10 iaitu berkaitan denda bagi kesalahan tersebut.

Peraturan 10 Kaedah lama memperuntukkan bahawa pemilik berdaftar atau pemandu kenderaan yang melakukan kesalahan jika sabit boleh dihukum denda tidak melebihi RM500.00 atau penjara tidak melebihi 2 minggu bagi kesalahan pertama. Bagi kesalahan kedua dan berulang, boleh didenda tidak lebih RM1,000.00 atau penjara tidak lebih sebulan atau kedua-duanya.

Peraturan 10 ini telah dipinda menaikkan hukuman kepada denda tidak melebihi RM2,000.00 atau penjara tidak lebih 6 bulan bagi kesalahan pertama manakala denda tidak melebihi RM4,000.00 atau penjara tidak lebih 12 bulan atau kedua-duanya bagi kesalahan kedua dan berulang.

Semasa Bengkel Khas diadakan pada 2 dan 3 Jun 2014, saya berkesempatan hadir dan bercakap memberikan pandangan. Saya memohon Kementerian untuk mengurangkan denda atau sekurang-kurangnya mengekalkan denda tetapi mengeluarkan hukuman penjara bagi kesalahan ini kerana kesalahan ini bukan suatu kesalahan jenayah yang berat. Apa yang berlaku adalah sebaliknya. Denda dan hukuman telah dinaikkan. Tiada sebarang justifikasi oleh Kementerian mengapa kadar denda dan hukuman dinaikkan. Persoalannya sekarang ialah kenapa hukuman dinaikkan? Adakah Kementerian menganggap kesalahan ini adalah kesalahan berat sehingga perlu kepada hukuman dinaikkan.

Ketua Pengarah JPJ dalam laporan BERNAMA menafikan bahawa JPJ akan mengenakan denda RM2,000 sebaliknya berkata hanya kompaun maksimum RM300. Beliau juga dilaporkan berkata “Denda sehingga RM2,000 atau enam bulan penjara seperti yang dilaporkan itu adalah bagi undang-undang mahkamah terhadap pemilik atau pemandu kenderaan yang tidak mematuhi peraturan trafik bagi kesalahan pertama”.

Apa maksud undang-undang mahkamah? Tidak ada undang-undang mahkamah atau bukan mahkamah. Undang-undang hanya satu. Kenyataan Ketua Pengarah JPJ tersebut jelas menggambarkan kejahilan beliau tentang undang-undang dan peraturan. Beliau seeloknya mendapatkan nasihat guaman daripada pegawai pendakwa JPJ atau penasihat undang-undang JPJ terlebih dahulu sebelum bercakap.

Beliau sepatutnya tahu prosedur undang-undang. Perlu faham apa itu kompaun dan denda. Kompaun maksimum bagi apa saja jenis kesalahan yang boleh dikompaun ialah RM300 di bawah Seksyen 120 Akta Pengangkutan Jalan 1987. Denda pula ialah kadar yang ditetapkan bagi kesalahan mengikut Kaedah, Peraturan atau Akta tertentu melibatkan kesalahan tertentu. Dalam konteks ini, kadar kompaun maksimum tetap RM300 tetapi Kaedah dipinda menaikkan kadar denda daripada tidak lebih RM500 atau penjara tidak lebih 2 minggu kepada denda tidak lebih RM2,000 atau penjara tidak lebih 6 bulan.

Isunya sekarang ialah bagi kesalahan di bawah Kaedah baru ini pemilik kenderaan atau pemandu boleh didenda tidak lebih RM2,000 atau penjara tidak lebih 6 bulan jika mereka tidak membayar kompaun yang ditawarkan. Kenapa denda dinaikkan? Itu isunya.

Jangan kelirukan orang ramai dengan kekeliruan diri sendiri. Jelaskan isu yang dibangkitkan bukan menambah kekeliruan. Kementerian Pengangkutan dan JPJ perlu menjelaskan kepada rakyat kenapa hukuman dinaikkan berkali ganda. Apa rasionalnya?

ZULHAZMI SHARIFF
Pengerusi Sekretariat Protes AES
(ProtAES)
22 Februari 2016.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...