TERKINI :

Sunday, February 7, 2016

Cadangan Peguam Negara untuk lindungi mereka yang pecah amanah

Khairil Ashraf | February 7, 2016

Kebocoran maklumat berkaitan salah guna kuasa, ketirisan dan pecah amanah hanya berlaku apabila hilang keyakinan terhadap organisasi tersebut.

akmal,apandi

PETALING JAYA: Cadangan Peguam Negara, Tan Sri Mohamad Apandi Ali yang mahu mengenakan tindakan tegas terhadap pemberi maklumat termasuk mengenakan hukuman penjara seumur hidup dan sebatan diselar Pusat Pemantauan dan Pendedahan Maklumat Kebangsaan (NOW).

Pengarah NOW, Akmal Nasir mendakwa, cadangan yang dibuat itu seolah-olah untuk mengenakan tindakan bagi menghukum pemberi maklumat dan melindungi mereka yang telah melakukan pecah amanah.

Akmal berkata, kebocoran maklumat berkaitan salah guna kuasa, ketirisan dan pecah amanah hanya berlaku apabila hilang keyakinan terhadap organisasi tersebut.

“Kegagalan tindakan pembaikan dan pencegahan secara dalaman menyebabkan pemberi maklumat mencari saluran alternatif.

“Kebanyakan pendedahan yang dibuat adalah demi kepentingan orang ramai dan berupaya menghentikan daripada perkara tersebut terus berulang,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Tambahnya, masalah kebocoran maklumat hanya akan terhenti apabila penyelewangan tidak berlaku.

“Tiada keperluan untuk pemberi maklumat mengambil risiko membuat pendedahan salah laku apabila siasatan dijalankan dan tindakan yang tegas diambil terhadap mereka yang pecah amanah dan salah guna kuasa.

“Hukuman yang lebih berat sewajibnya dikenakan terhadap mereka yang pecah amanah, pesalah rasuah atau mahupun yang salah guna kuasa, manakala pemberi maklumat wajar dilindungi,” tegasnya.

Semalam, Mohamad Apandi dalam temubual eksklusif dengan akhbar Sinchew Daily sedang menimbang untuk meminda undang-undang bagi meningkatkan hukuman ke atas mereka yang membocorkan rahsia negara dan wartawan yang melaporkannya.

Katanya, Pejabat Peguam Negara sedang mengkaji untuk meminda Akta Rahsia Rasmi 1972 bagi memasukkan hukuman penjara seumur hidup dan 10 sebatan rotan.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...