TERKINI :

Monday, February 22, 2016

Barisan exco Kedah angkat sumpah hari ini

Ahmad Bashah Md Hanipah

ALOR SETAR - Barisan Anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan (exco) Negeri Kedah yang dijadual mengangkat sumpah jawatan mereka di Istana Anak Bukit, Isnin ini, dilihat penamat kepada krisis kepimpinan Umno negeri itu sejak bulan lepas.

Selepas Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah mengangkat sumpah sebagai menteri besar Kedah yang baharu menggantikan Datuk Seri Muhriz Mahathir pada 4 Februari lepas, tumpuan kini menjurus kepada senarai barisan exco yang bakal dilantik.

Penganalisis politik melihat pelantikan exco itu penting dalam hala tuju kepimpinan Ahmad Bashah dalam mengemudi pentadbirannya.

Sumber yang rapat dengan kerajaan negeri memberitahu Bernama bahawa Ahmad Bashah kemungkinan akan mengekalkan sembilan exco yang ada sebelum ini.

"Rombakan mungkin tidak ada dan bersesuaian dengan permintaan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak," kata sumber itu.

Sebelum ini kesemua exco berkenaan berkata, mereka menyerah sepenuhnya kepada Ahmad Bashah untuk menentukan barisan exco yang akan dilantik itu dan berikrar akan terus menyokong menteri besar walaupun tidak terpilih.

Sementara itu, Pengarah Institut Kajian Politik Malaysia, Universiti Utara Malaysia, Dr Kamarul Zaman Yusoff berpendapat Ahmad Bashah perlu menggandingkan kombinasi exco lama dan muka baharu dalam senarainya. "Kalau mahu kestabilan kedudukan Umno di Kedah, beliau perlu kekalkan sebahagian yang lama dan ambil yang baharu," katanya.

Majlis mengangkat sumpah dan Pengurniaan Tauliah Pelantikan itu akan berlangsung di hadapan Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Tan Sri Tunku Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah.

Ahmad Bashah yang ditemui pemberita semalam tetap enggan mendedahkan nama barisan exco yang akan mengangkat sumpah Isnin ini.

"Tunggulah pada 22 haribulan (Isnin) untuk anda mengetahuinya. Pagi Isnin ini anda semua dapat tahulah," kata Ahmad Bashah.

Ahmad Bashah berkata, senarai nama exco baharu itu telah pun mendapat perkenan Jemaah Pemangku Sultan. - Bernama

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...