TERKINI :

Sunday, February 14, 2016

Baling mikrofon tak rosak akidah, kata Ahmad Awang

Tindakan Presiden AMANAH, Mohamad Sabu mencampak mikrofon selepas berucap tidak menyebabkan rosak akidah, kata Penasihat Umum AMANAH, Ahmad Awang.

Menurutnya, ia tidak seperti yang dilakukan oleh ADUN PAS Paya Jaras, Mohd Khairuddin Othman yang berpakaian ala maharaja China ketika menghadiri majlis perayaan Tahun Baru Cina baru-baru ini.

Ahmad berkata, Mohamad hanya mahu menunjuk perasaan kesalnya kepada rakyat Malaysia, terutamanya orang Melayu, yang disifatkannya sebagai “penakut”.

“Campak mikrofon tak rosak akidah. Pakai pakaian tuhan sembahan Cina itu lagi berbahaya dan boleh jejaskan akidah. Alasan Khairuddin tak tahu atau terpedaya itu cerita lain.

“Kalau dia (Mohamad) tidak buat begitu (campak mikrofon), orang tidak akan ingat apa yang Mat sabu buat ketika itu.

"Bila dia buat begitu orang semua ingat. Mat Sabu kata ketidakpuasan hati dia,” katanya kepada Malaysiakini selepas program Kicau Deeni di ibunegara hari ini.

Mohamad bertindak mecampak mikrofon itu selepas berucap di Himpunan 365 #BebasAnwar di Penjara Sungai Buloh, sempena setahun bekas ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dipenjarakan selepas disabit dengan tuduhan liwat.

Dalam ucapannya Mohamad turut berkata rakyat Malaysia tidak mempunyai keazaman menolak Najib walaupun tanggapan terhadap pentadbirannya teruk.

Sebelum ini, Timbalan Ketua Dewan Ulamak PAS Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh menganggap tindakan Khairuddin memakai pakaian pakaian menyerupai dewa hanya sebagai salah faham.

Terdahulu, Khairuddin dilapor menghadiri majlis perayaan Tahun Baru Cina bersama masyarakat Tionghua di Wangsa Permai, Kepong dengan memakai pakaian ala 'maharaja China'.

Menurut Harakah Daily lagi, Khairuddin tidak tahu menahu pakaian yang dikenakannya itu menyerupai Dewa Cao Guo Jiu.

Laporan itu memetik Khairuddin sebagai berkata persatuan penduduk Wangsa Permai memaklumkan ia adalah pakaian ala maharaja China.

Sementara itu, Ahmad menafikan bahawa parti itu menggunakan Islam untuk kepentingan diri sendiri tetapi sebaliknya untuk berkhidmat kepada rakyat.

Malah jelasnya sekiranya beliau sendiri hendak berbuat demikian ia boleh dilakukan 30 tahun dahulu ketika menjawat jawatan tertinggi sebagai pengarah Pusat Penyelidikan Islam.

“Bagi kita, tidak timbul agama diperalatkan kerana kita ambil perjuangan ni nak berkhidmat kerana Islam dan bukan kepentingan diri kita. Kalau nak kepentingan diri, kita tak perlu tubuh parti AMANAH.

“Kalau untuk kepentingan diri, bukan sekarang tapi 30 tahun dahulu, iaitu pada awal 70-an hingga 90-an. Ketika itu saya sebagai pengarah dakwah Pusat Islam, pengarah Pusat pendidikan Islam sememangnya kita berusaha berdakwah..

“Akhirnya saya dibekukan kerana dianggap orang politik yang menyanggah kerajaan.

“Kalau nak cari kedudukan pada masa itu (30 tahun lalu), orang yang ada kebolehan agama, peralatkan agama untuk kepentingan, saya tidak akan ada dalam parti Islam sekarang ini,” katanya.

Malah katanya, kewujudan AMANAH sendiri adalah untuk menyampaikan amanah kepada rakyat di negara ini.

“AMANAH diwujudkan untuk menggalas amanah untuk diberikan kepada rakyat. Walaupun dulu dalam PAS, sekarang dalam wadah yang lain, kita AMANAH akan istiqamah dalam Islam,” katanya.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...