TERKINI :

Monday, February 1, 2016

'Apakah dosa Mukhriz lebih besar dari Najib?'


Ekoran kemelut kepimpinan Kedah berlanjutan hingga kini, Ahli Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar hari ini mempersoalkan sama ada "kesalahan" dilakukan Datuk Seri Mukhriz Mahathir lebih besar daripada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Menurut Mahfuz, beliau kehairanan mengapa isu mengenai penukaran menteri besar itu dibangkitkan kerana tidakan tersebut tidak memberi manfaat terhadap pertumbuhan ekonomi negara.

Malah, beliau juga mempersoalkan sama ada penukaran Mukhriz itu akan menyelesaikan segala masalah yang dibebani rakyat ketika ini, termasuk tanggungan kos sara hidup yang semakin tinggi.

"Apa yang dipersoalkan rakyat Kedah sekarang bukannya siapa calon menteri besar baru Kedah tetapi yang dipersoalkan rakyat ialah apa perlunya tukar menteri besar.

"Persoalannya, apa kesalahan besar dan dosa yang Mukhriz lakukan terhadap rakyat Kedah sepanjang beliau menjadi menteri besar negeri tersebut?

"Apakah kesalahan dan kelemahan Mukhriz lebih besar mudaratnya daripada kesalahan dan kelemahan perdana menteri Najib kepada rakyat seluruhnya?" kata Mahfuz dalam kenyataan medianya.

Dua minggu lalu, Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno Kedah Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah (gambar) serta pimpinan Umno negeri mengadakan sidang media untuk menolak kepimpinan Mukhriz.

Ia dipercayai susulan kelantangan bapa Mukhriz, Tun Dr Mahathir Mohamad mengasak pentadbiran Najib dan mendesaknya berundur.

Ekoran itu, perdana menteri menghadap Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah Tunku Tan Sri Sallehuddin Almarhum Sultan Badlishah, yang juga Tunku Temenggong Kedah, di Istana Darul Aman, Bukit Persekutuan di ibu negara bagi membincangkan isu pertukaran menteri besar.

Susulan itu juga, satu pertemuan antara Adun BN dengan Anggota Jemaah Pemangku Sultan Kedah di Alor Setar pada petang ini diadakan.

Mahfuz memberitahu krisis yang berlaku di Kedah kini dilihat sebagai mengganggu kedamaian dan keharmonian politik negeri berkenaan.

"Gerakan komplot yang didalangi Putrajaya untuk menggulingkan Mukhriz sebagai menteri besar telah menggangu kedamaian dan keharmonian politik Kedah yang mutakhir ini memperlihatkan politik matang dengan aliran sederhana dalam perbezaan ideologi dan pendapat, tetapi masih boleh bertolak ansur secara matang dan demokratik dalam mengurus perbezaan," katanya lagi.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...