TERKINI :

Sunday, February 7, 2016

Apakah DEB atau UMNO yang patut dipersalahkan?



Aku terpanggil untuk mengulas kenyataan TS Rafidah Aziz, tokoh veteran yang begitu lama bergelumang dalam politik tanah air dan sedikit sebanyak telah menyerlahkan nama negara Malaysia di persada antarabangsa, ketika beliau begitu lama memegang jawatan sebagai Menteri Perdagngan Antarabangsa dan Industri.

Kata beliau mengenai orang Melayu (aku tak lupa yang aku juga orang Melayu totok),‘“We have been nurtured to believe that we are special. Doesn’t matter if we are actually a nobody, we are special….Even if we got nothing ‘up here’ (brains), we are special! It is the nurturing. We (Malays) are privileged,” (Malaysiakini – 30 January 2016).

Tentulah tidak dapat dinafikan kenyataan sedemikian. ‘Betui sangat’ kata orang Perak. Dan disamping itu tentulah ada juga yang cuba mempertikaikan kenyataan sedemikian. Biasanya yang berminat untuk terlibat dalam polemik sedemikian adalah terdiri dari golongan yang tidak mahu langsung orang Melayu dikritik walaupun dengan jelas kelihatan bahawa orang Melayu kini amat ketinggalan dalam berbagai bidang, tidak banyak bezanya dengan orang Melayu selepas kemerdekaan. (Maaf!.. agak keterlaluan).

Aku hanya ingin menokok tambah tentang apa yang dikatakan oleh TS Rafidah Aziz. Orang Melayu merasakan diri mereka istemewa berkemungkinan juga disebabkan telah termaktub dalam perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948 yang kemudiannya juga termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1957.


Dan yang menyebabkan ‘wujud’nya peruntukan tentang keisimewaan orang Melayu adalah berpunca daripada pemberian kerakyatan yang diberikan kepada golongan bukan Melayu yang sentiasa mendesak agar diberikan kerakyatan Jus soli kepada golongan bukan Melayu. Pemimpin Melayu pada ketika itu berpendapat sekiranya prinsip kerakyatan jus soli diberikan kepada golongan bukan Melayu maka berkemungkinan besar akan melemahkan kedudukan orang Melayu. Lantas setelah beberapa rundingan diadakan antara kedua pihak Melayu dan bukan Melayu, Raja Melayu telah menerima kerakyatan jus soli dengan syarat orang bukan Melayu mengiktiraf kedudukan istemewa orang Melayu.

Agaknya syarat inilah yang terus menerus ‘dipegang’ oleh orang Melayu sehinggakan mereka (termasuk aku) lupa bahawa mereka hampir ‘lemas’ di tanah air sendiri. Dan bukan disebabkan oleh orang lain tetapi ‘terlemas’ sendiri. Mungkin kerana sentiasa dibelai dan dpupuk mengatakan bahawa orang Melayu adalah golongan yang istemewa di negara ini walaupun tinggal dalam keadaan papa kedana dan sentiasa ‘meminta-minta’ dan mengharapkan belas iksan dari orang lain. Yang sentiasa memuji dan memuja disebabkan pemberian BRIM oleh kerajaan!.

Selepas lebih kurang satu dekad merdeka, kelihatan orang Melayu masih belum berubah sebagaimana yang diharapkan. Malah pencapaian orang Melayu dalam apa juga lapangan masih terkebelakang berbanding dengan kaum lain di negara ini. Lantas diperkenalkan pula Dasar Ekonomi Baru (DEB) pada tahun 1970 yang diharapkan akan betul-betul dapat memajukan orang Melayu dari segenap segi, khususnya dari segi pendidikan.

Dari segi kuantiti, memang ramai yang mendapat pendidikan tinggi samada dari luar negara atau dalam negara. Kini telah dapat dilihat bahawa DEB itu hanya melahirkan bilangan yang mendapat pendidikan tinggi tetapi diukur dari segi kualiti berkemungkinan besar orang Melayu masih ketinggalan. Anak Melayu berduyun-duyun menuntut di luar negara, menuju universiti-universiti di luar negara yang semata-mata untuk ‘mengejar’ mendapatkan segolong ijazah. Tidak ramai anak Melayu yang menuntut di Universiti-universiti Cambridge, Oxford, Harvard, Stanford, Princeton, Yale dan sebagainya. Berbanding dengan pelajar-pelajar dari Jepun, Taiwan, Hong Kong, Korea, Singapura yang berlumba-lumba untuk menuntut di ‘Ivy League’ ini. Mungkinkah ini juga merupakan kesan tentang ketidakpedulian kita untuk menghantar pelajar-pelajar kita ke university yang ternama di Amerika Syarikat atau di Britain?

Orang Melayu masih terus mundur berbanding dengan kemajuan bangsa lain. Sebagaimana yang dikatakan oleh TS Rafidah Aziz bahawa orang Melayu masih merasakan diri mereka istemewa walaupun dalam ‘kedudukan’ papa kedana, miskin melarat. Orang Melayu yang menjadi ahli UMNO masih mendabik dada ke sana ke mari mengatakan yang orang Melayu hebat. ‘Takkan Melayu hilang didunia’, walaupun keadaan orang Melayu amat menyedihkan.

Mungkinkah disebabkan sentiasa berada ‘di bawah tempurung’ yang menyebabkan orang Melayu tidak merasakan yang mereka amat ketinggalan. Atau mungkinkah disebabkan oleh orang Melayu sentiasa ‘didendangkan’ oleh pemimpin negara dengan ‘lagu-lagu’ yang lemak merdu sehinggakan orang Melayu terbuai dengan senikata dan irama (kononnya keramat) bahawa ‘takkan Melayu hilang di dunia.

Apa yang dapat dilihat ialah bahawa para pemimpin negara seolah-olah tidak mahu langsung ‘menyusahkan’ hati dan perasaan orang Melayu. Pemimpin negara dalam apa suasana sekali pun sentiasa ‘memuji dan memuja’ orang Melayu dengan kata-kata pujian dan lunak sehinggakan orang Melayu ‘termakan dan terlena’ dengan pujian-pujian itu. Dan keadaan ini dapat dilihat dengan jelas dalam Persidangan Agung UMNO yang diadakan pada setiap tahun.

Pada persidangan sedemikian, orang Melayu seolah-olah berada di awangan dan lupa keadaan mereka sebenarnya. Lupa bahawa orang Melayu yang kononnya ‘istemewa’ di negara ini sebenarnya berada dalam keadaan yang amat melarat berbanding dengan kaum lain. Aku tidak dapat menafikan tentang adanya orang Melayu yang begitu maju dan berharta, terutama dari kalangan pemimpin UMNO yang kekayaan mereka melampaui dan mengatasi kekayaan setengah golongan bukan Melayu. Itu tidak akan aku nafikan.

Yang menjadi kebimbangan dan kerunsingan ialah berapa lama masa yang diperlukan bagi orang Melayu untuk betul-betul akan berubah.

Mari kita jawab bersama.

abuhassanadam

31 Januari 2016

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...