TERKINI :

Friday, February 5, 2016

Adun PAS Kedah pun sokong Mukhriz, kata Mahfuz


Walaupun pemimpin PAS dilihat mahu berbaik-baik dengan Datuk Seri Najib Razak, 2 wakil rakyat parti Islam itu berkata, mereka yakin tidak dikenakan tindakan kerana menyokong menteri besar yang dipecat Umno Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Bekas naib presiden PAS Datuk Husam Musa sedia duduk sepentas dengan Mukhriz manakala bekas ketua penerangannya, Datuk Mahfuz Omar terus datang ke rumah bekas menteri besar Kedah itu bagi memberikan sokongan moral.

"Adun PAS pun sokong Mukhriz," kata Mahfuz kepada The Malaysian Insider ketika ditanya kenapa beliau menyokong Mukhriz.

Mahfuz dipercayai merujuk kepada sikap semua 8 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) PAS Kedah yang menyokong Mukhriz ketika dipanggil menemui Jemaah Pemangku Sultan Kedah.

Mahfuz berkata, setahu beliau semua Adun PAS menyatakan sokongan kepada Mukhriz ketika ditanya Istana dalam pertemuan itu.

"Jadi tidak ada sebab nak marah saya," katanya ketika menolak anggapan pemimpin PAS akan marah kerana memberikan sokongan kepada Mukhriz.

Mukhriz melepaskan jawatannya sebagai menteri besar kelmarin selepas majoriti Adun tidak menyokong beliau. DUN Kedah mempunyai 21 Adun Barisan Nasional dan 15 Adun pembangkang iaitu PAS (8), PKR (4), DAP (2) dan Amanah (1).

Mahfuz berkata, beliau tidak pasti sama ada semua Adun pembangkang menyokong Mukhriz atau tidak tetapi setahunya semua Adun PAS memberi sokongan kepada bekas menteri besar Umno itu.

Ketika ditanya, apakah sebabnya beliau menyokong Mukhriz, Mahfuz menjawab:"Kerana keadilan. Tiada kesalahan besar memudaratkan rakyat dilakukan Mukhriz berbanding apa yang Najib lakukan kepada rakyat."

Sementara itu, Husam berkata, beliau sedia untuk duduk sepentas dengan Mukhriz bila-bila masa.

"Hatta hari ini jika Mukhriz sedia, saya bersedia," kata Adun Salor, Kelantan itu kepada The Malaysian Insider.

Husam ialah antara pemimpin PAS paling ketara menentang sikap pucuk pimpinan PAS yang dilihat mahu berbaik-baik dengan Najib.

"Saya tidak sokong pemimpin saya yang mahu menyokong Najib ketika semua pihak marahkan dia kerana didakwa melakukan korupsi," kata Husam pada satu majlis makan malam anjuran Amanah Kelantan di Petaling Jaya sebelum ini. – 5 Februari, 2016.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/adun-pas-pun-sokong-mukhriz-kata-mahfuz#sthash.pV4Wmh9Q.dpuf

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...