TERKINI :

Friday, February 5, 2016

ADUN BN mula lobi jawatan exco dari Bashah


Sudah ada anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN yang mula merapati Menteri Besar Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah bagi melobi jawatan exco.

Mendedahkan perkara itu, Bashah berkata, beliau bukan seorang yang mudah untuk dipengaruhi memandangkan terdapat kriteria tertentu perlu dipenuhi bagi melayakkan individu itu menjawat jawatan berkenaan, lapor Utusan Malaysia.

Jelasnya, bagi menjadi exco, antara ciri utama yang diperlukan ialah individu tersebut perlu berdedikasi serta bertanggungjawab untuk menggalas amanah yang diberikan.

“Memang dah ada yang merapati saya, tetapi jika sekadar rapat sahaja tidak bermakna saya akan ambil dia.

“Selain itu saya juga perlu tengok penerimaan parti terhadap individu tersebut macam mana, orang itu juga perlu bekerja keras," beliau dilaporkan sebagai berkata.

Katanya, beliau perlu menyelesaikan soal barisan exco negeri ini selewat-lewatnya minggu depan.

“Saya perlu berbincang dengan penasihat undang-undang negeri mengenai hal exco Kedah ini, saya juga perlu teliti adakah selepas menteri besar bertukar barisan exco juga perlu mengangkat sumpah semula.

“Saya perlu dapatkan nasihat ini sebelum menentukan barisan Exco negeri,” beliau dilaporkan sebagai berkata.

Sementara itu, ketika ditanya sama ada beliau akan merombak barisan exco negeri, Bashah berkata, beliau perlu meneliti semula perkara tersebut.

“Rombakan atau tambahan exco saya kena tengok dahulu, mungkin ada exco yang setia kepada Mukhriz apabila kita tawarkan semula jawatan dia akan tolak,” beliau dilaporkan sebagai berkata.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...