TERKINI :

Monday, February 15, 2016

Adakah rakyat M'sia penakut seperti saya?

oleh RAHMAT HARON

 
Di sebalik keributan skandal kewangan 1MDB dan kontroversi pembersihan perdana menteri oleh Peguam Negara (AG) Mohamad Apandi Ali, saya cuba menipu diri saya sendiri.

Semuanya untuk mempercayai barangkali masih ada sisa-sisa harapan lagi bagi cita-cita perbaikan hak asasi manusia di Malaysia.

Penghujung tahun lalu, peguam negara yang baru Apandi Ali mencadangkan agar hukuman mati mandatori dihapuskan. Saya amat mengalu-alukannya.

Ia merupakan suatu kenyataan bersejarah kerana datang daripada aparatus rejim yang terkenal dengan rekod-rekod pelanggaran hak asasi manusianya. Apatah lagi ia hadir di tengah-tengah krisis kewibawaan skandal kewangan 1MDB.

Saya seakan-akan percaya bahawa tujuan cadangan AG ini adalah benar-benar untuk mensejajarkan kedudukan negara selari dengan pemikiran sejagat hak asasi manusia ke arah penghapusan hukuman bunuh.

(Saya tidak mahu percaya pemansuhan hukuman mati di Malaysia bertujuan untuk menyelamatkan nyawa para pembunuh mendiang Altantuya Shaariibuu, Sirul Azhar dan Azilah Hadri – saranan sempit ini agak terlalu berbau konspirasi dan tiada sandaran fakta. Saya tidak nafikan jika hukuman mati dimansuhkan, Sirul akan dipulangkan kerajaan Australia kembali ke Malaysia.)

Sebagaimana yang dilaporkan media, Apandi menyatakan hukuman mati mandatori adalah "paradoks", kerana ia merampas hak seorang hakim untuk menggunakan budi bicara mereka bagi mengenakan hukuman ke atas penjenayah yang disabitkan kesalahan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nancy Shukry pula dilaporkan berkata Putrajaya dijangka membentangkan di Parlimen cadangan pindaan undang-undang bagi memansuhkan hukuman mati mandatori atas salah laku membabitkan dadah.

AG mahu pinda OSA

Ia dijangka dilakukan pada sidang Dewan Rakyat bulan Mac mendatang ini.

Badan-badan hak asasi dunia, serantau dan tempatan telah bertahun-tahun berjuang untuk penghapusan hukuman bunuh ini.

Antara NGO tempatan yang aktif berkempen memansuhkan hukuman bunuh ialah Suara Rakyat Malaysia (Suaram), Pertubuhan Hak Asasi Manusia Kebangsaan (Hakam) dan Amnesty International (Malaysia).

Pada bulan Julai 2014, Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) Ban Ki-moon telah pun mengisytiharkan bahawa hukuman bunuh tidak mempunyai tempat pada abad ke-21 ini.

Hukuman bunuh dilihat daripada kerangka hak asasi manusia sebagai keputusan muktamad, tidak boleh diubah dan terlalu zalim. Ia tidak menawarkan keinsafan dan pemulihan, selain sering kali terdedah kepada kesilapan manusia.

Namun euforia saya, seperti kehangatan tahi ayam, hanya sebentar saja. Panas, suam dan mendingin bersama keharuman baunya.

Saya terkejut apabila membaca cadangan paling baru peguam negara meminda Akta Rahsia Rasmi (OSA).

Malaysiakini melaporkan AG sedang mempertimbangkan untuk meminda undang-undang bagi meningkatkan hukuman ke atas mereka yang membocorkan rahsia negara dan wartawan yang melaporkannya.

Pejabat Peguam Negara sedang mengkaji untuk meminda Akta Rahsia Rasmi 1972 bagi memasukkan hukuman penjara seumur hidup dan 10 sebatan rotan.

Laporan tersebut memetik temubual eksklusif AG dengan akhbar Sinchew Daily.

Struktur kekuasaan BN

Apandi Ali berkata, “di sesetengah negara, membocorkan rahsia rasmi adalah satu kesalahan yang serius, seperti di China di mana ia membawa hukuman mati."

Cadangan AG yang ingin meniru perundangan negara China – yang setakat ini tidak peduli hak asasi manusia – mendapat bidasan meluas.

Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) yang pada masa lalu dibayangi imej sebagai pertubuhan prokerajaan BN, mengeluarkan kenyataan keras membantah cadangan ini, sambil menyifatkan ia sebagai zalim dan tidak demokratik.

Setiausaha agungnya, Schave Jerome De Rozario berkata saranan itu bercanggah etika kewartawanan bagi melindungi sumber maklumat dalam laporan sesuatu berita.

Gerakan Media Marah (Geramm), sebuah perkumpulan longgar para pengamal media, menyifatkan cadangan tersebut sebagai cubaan menakutkan media daripada melaporkan kebenaran.

Manakala itu, pemimpin PKR, yang juga ahli parlimen Pandan, Rafizi Ramli telah pun memulakan kempen – meski cuma di media sosial, saya harap ini hanya permulaaan – bagi mendapatkan seberapa banyak sokongan rakyat bagi menolak cadangan pindaan OSA.

Badan hak asasi antarabangsa, Human Rights Watch (HRW) mengutuk cadangan tersebut. Malahan menurut sebuah laporan media, timbalan pengarah HRW Asia, Phil Robertson, Apandi hanya menjadi orang suruhan (legal hitman) untuk Perdana Menteri Najib Razak.

HRW menyifatkan cadangan itu bertujuan menakut-nakutkan bakal pemberi maklumat yang cuba mendedahkan rasuah dan salah guna kuasa dalam kerajaan.

Saya amat bersetuju dengan kesemua bidasan-bidasan terhadap cadangan pindaan OSA ini. Hukuman penjara seumur hidup dan penderaan jasad dengan 10 sebatan tersebut amat tidak berperi kemanusiaan.

Ia menguatkan kesimpulan saya berdasarkan pengamatan, bahawa struktur kekuasaan kerajaan BN, dulu, kini dan tidak mustahil akan selama-lamanya mengamalkan pemerintahan separa kuku besi (autoritarianisme).

Kata separa bermaksud ia tidak menjadi kuku besi pada semua keadaan sebagaimana pemerintahan diktator tentera di Korea Utara misalnya.

Tetapi pada keadaan-keadaan tertentu, lebih-lebih lagi dalam suasana parti Umno sebagai teras pemerintahan BN sedang berdepan dengan pergolakan dalaman, ia akan menjadi lebih zalim dan autoritarian serta berkuasa dengan dasar pecah dan perintah; cenderung perkauman, mempergunakan agama, sambil mengawal ketat warganya agar tidak mengkritik kerajaan.

Kebanyakan operasi penangkapan besar-besaran para pemimpin politik pembangkang, aktivis rakyat bawahan dan penggerak gerakan sivil, ataupun gerakan mahasiswa berlaku sewaktu pimpinan Umno mendapat penentangan daripada dalam kerajaan dan partinya sendiri.

Pada tahun 1987, dengan Team A dan Team B. Pada 1998 akibat pemecatan Anwar Ibrahim. Kini pula kerana perlawanan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad.

Corak pemerintahan autoritarian menjadikan rakyat hidup dalam ketakutan – kerana parti pemerintah punya kuasa mutlak ke atas jentera kerajaan, perkhidmatan awam, tentera yang gagah perkasa, penjara dan senjata.

Apabila rakyat takut untuk kelihatan mencabar kerajaan, maka sempurnalah kezaliman itu. Adakah rakyat Malaysia penakut seperti saya?

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...