TERKINI :

Saturday, February 6, 2016

Ada pemimpin negara khianat amanah – Muhyiddin

Muhyiddin
PETALING JAYA: Rakyat kini semakin tidak mempercayai pemimpin negara kerana orang yang diamanahkan untuk memimpin mengkhianati amanah yang diberikan.

Bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata ketika rakyat sedang bergelut dengan masalah kos sara hidup, beban Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), kejatuhan nilai ringgit dan hilang kerja, ada pemimpin yang disahkan menerima berbilion ringgit dan dimasukkan ke akaun peribadi dan digunakan untuk kegunaan sendiri.

Tambahnya, lebih menyedihkan apabila antara sumber wang itu adalah daripada syarikat yang mendapat dana daripada tabung awam.

“Namun, amat pelik apabila penerimaan wang yang bersumberkan dana awam oleh seorang pemimpin negara tidak dianggap sebagai satu kesalahan.

“Malah, siasatan ke atas laporan salah laku dan rasuah melibatkan orang berkenaan diarahkan ditutup,” katanya dalam satu kenyataan di Facebooknya.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, sebelum ini ada penjawat awam, ahli perniagaan dan orang politik disiasat, didakwa dan dihukum kerana rasuah dan menyalahgunakan dana awam.

“Tetapi dalam skandal kewangan terbesar di negara kita yang melibatkan 1Malaysia Development Berhad(1MDB) dan SRC International, tiada sesiapa pun didakwa,” katanya.

Beliau berkata, ada pihak yang secara terang-terangan mempertahankan dan melindungi salah laku orang tertentu walaupun jauh di sudut hati, mereka juga tahu apa sebenar yang berlaku.

“Di manakah nilai kejujuran, kebenaran dan keadilan yang kita semua sanjung. Adakah nilai-nilai ini sudah tiada ertinya lagi. Adakah yang bertakhta cuma sikap rakus dan tamak haloba untuk merebut kesenangan dunia semata-mata?

“Atau, adakah seluruh jiwa telah diselimuti oleh perasaan takut dan bimbang untuk menyatakan kebenaran dan menghapuskan kebatilan?,” katanya.

Muhyiddin berkata demikian, dipercayai merujuk kepada kes membabitkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang menerima dana RM2.6 bilion dan dimasukkan ke akaun peribadinya.

Kes itu disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), yang kemudian menyerahkan hasil siasatan itu kepada Peguam Negara untuk tindakan lanjut.

Bagaimanapun, Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali yang menyemak dokumen siasatan itu menyatakan bahawa Najib tidak melakukan sebarang kesalahan jenayah dan mengarahkan SPRM menutup kes itu.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...