TERKINI :

Tuesday, February 2, 2016

2 lagi Adun Umno sokong Mukhriz, Adun pembangkang kini penentu, kata sumber

OLEH MD IZWAN

Tindakan 2 Ahli Dewan Undangan (Adun) Umno membuat “pusingan U” menyokong Datuk Seri Mukhriz Mahathir selepas berjumpa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dikatakan sebagai punca Jemaah Diraja Kedah tidak mengumumkan nama menteri besar baharu semalam, kata sumber.

Sumber mendedahkan kepada The Malaysian Insider, 2 Adun itu memberitahu Istana Kedah mereka masih mahu Mukhriz kekal sebagai menteri besar semasa perjumpaan tertutup di Wisma Darul Aman semalam.

"Dua Adun bertindak membuat ‘pusingan U’ apabila menyatakan sokongan kepada Mukhriz," kata sumber yang turut hadir dalam pertemuan dengan Istana Kedah semalam.

Perkara itu dimaklumkan sendiri pihak Istana selepas selesai pertemuan dengan 21 Adun Barisan Nasional (BN) semalam, bagaimanapun nama 2 Adun tersebut tidak didedahkan, kata sumber.

"Jemaah memaklumkan terdapat 2 Adun yang menyokong Mukhriz selepas ditolak Adun Jitra, Aminuddin (Datuk Aminuddin Omar)," kata sumber.

Dua Adun itu, termasuk Aminuddin dan Mukhriz sendiri menyebabkan kumpulan penentang hanya tinggal 17 daripada 21 Adun keseluruhan BN dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah.

Jika 4 Adun termasuk Mukhriz dicampur dengan 15 Adun pembangkang, bermakna menteri besar masih Kedah itu masih memiliki sokongan dalam DUN dengan majoriti mudah 19 kerusi.

Pembangkang memiliki 15 kerusi dalam DUN, dengan PAS memiliki 8 kerusi, 4 PKR, 2 DAP dan 1 Parti Amanah Negara (Amanah).

Sumber memberitahu walaupun dengan kedudukan itu, mereka masih yakin dapat menukar Mukhriz atas alasan terdapat Adun PAS yang tidak menyokong pentadbiran anak Tun Dr Mahathir Mohamad itu.

"Kami yakin mendapat beberapa sokongan daripada wakil rakyat PAS yang tidak menyokong Mukhriz.

"Tunggu sahaja esok (hari ini) keputusan yang bakal dibuat jemaah," katanya.

Semalam, Jemaah Diraja Kedah memutuskan memanggil semua Adun pembangkang untuk menghadap mereka di Wisma Darul Aman hari ini.

Sebelum itu, spekulasi meluas mengatakan Mukhriz akan digantikan memandangkan Najib mengatakan sudah mendapat perkenan Istana Kedah untuk melantik menteri besar baharu.

Umno Kedah mahu Mukhriz, yang juga pengerusi badan perhubungan negeri itu disingkirkan sebagai menteri besar.

Sebelum ini, daripada 21 wakil rakyat BN, 19 dilaporkan menandatangani akuan bersumpah (SD) untuk menyingkirkan Mukhriz daripada jawatan menteri besar Kedah.

Hanya Mukhriz dan Aminuddin tidak menandatangani SD itu. – 2 Februari, 2016.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...