TERKINI :

Friday, January 15, 2016

Usah ikut rentak tari UMNO usung perkauman sempit

SUFI6796

Saya memahami kebimbangan Timbalan Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah), Dzulkefly Ahmad pada perbahasan dalam persidangan pimpinan Pakatan Harapan (PH) menerusi saranan beliau supaya DAP tidak meletakkan calon Melayu untuk kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor.

Saya yakin kenyataan itu sebagai reaksi berikutan hambatan UMNO yang 50 tahun mengheret rakyat khususnya masyarakat Melayu ke arah politik sempit perkauman.

Lebih-lebih lagi, sikap ‘main mata’ PAS-UMNO yang semakin menjadi-jadi mutakhir ini, ditambah dengan serangan fitnah mereka terhadap DAP, kononnya anti-Islam dan anti-Melayu, secara tidak langsung memberi kesan terhadap Amanah.

Secara peribadi, sebagai ahli DAP berketurunan Melayu dan beragama Islam yang aktif dalam gerak kerja di Johor, DAP harus terus memfokuskan untuk mengangkat isu sebenar yang membelenggu rakyat. Kerana saya yakin rakyat tidak boleh dibiarkan terus hanyut dengan permainan dan propaganda UMNO yang terus mengusung agenda perkauman sempit.

Menyahut seruan Presiden Amanah, Mohamad Sabu pada persidangan itu, kita tidak boleh terus menerus mengikut rentak tari yang dimainkan UMNO. UMNO tidak akan berhenti dari kerangka perkauman.

Kenyataan Menteri Besar (MB) Johor minggu lalu berhubung kerjasama UMNO-PAS di Johor memberi isyarat betapa UMNO gagal membawa rakyat kepada isu sebenar iaitu kos sara hidup yang semakin menekan, ketempangan polisi kerajaan dalam urus tadbir sosial ekonomi dan amalan rasuah yang membarah sehingga rakyat menjadi mangsa.

Mohamad Sabu, malah dalam ucapannya mengajak agar PH membuka lembaran baru, mencipta gelombang rakyat yang sebenar dengan keluar dari agenda perkauman sempit ciptaan UMNO. Seterusnya mengangkat isu sebenar yang menghimpit rakyat seperti isu ekonomi, polisi memberdaya rakyat dan keutuhan perpaduan semua kaum tanpa mengira bangsa.

Kita sedar, jika PH terus menari mengikut rentak tari UMNO, ia tidak lebih dari sekadar mengukuhkan lagi kekuatan mereka.

DAP perlu konsisten mengambil langkah mendidik rakyat dan tidak akan sekali-kali merendahkan maruah serta kebijaksanaan yang dimiliki rakyat. Kami yakin rakyat tidak bodoh dan tidak akan terus kekal diperbodohkan oleh UMNO yang terus menerus memerangkap mereka dengan agenda sempit perkauman.

Jika PH dapat kekal atas landasan ini, mendidik dan memberikan penerangan secara lebih agresif, proaktif dan konsisten kepada rakyat khususnya masyarakat Melayu, saya yakin perubahan politik di Johor dan Putrajaya akan berlaku.

Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 bakal berlaku lebih kurang dua tahun dari sekarang. Saya optimis, jangka masa itu lebih daripada cukup untuk PH berbuat sesuatu bagi membela rakyat.

Saya tegaskan, UMNO terus menakut-nakutkan masyarakat Melayu dengan api perkauman sempit sedangkan skandal 1MDB, isu RM2.6 bilion ke akaun peribadi Perdana Menteri, cukai zalim GST, skandal YAPIEM dan sebagainya bukti jelas UMNO yang selama 50 tahun memimpin negara mengkhianati amanah dan merompak wang rakyat termasuk orang Melayu, dengan berselindung di sebalik slogan membela Melayu!

Apapun, saya yakin soal kerusi, calon dan gerak kerja pilihan raya akan dibincanglebih mendalam dan bijaksana oleh pimpinan PH sepertimana semangat kesatuan yang ditunjukkan menerusi dokumen perjanjian yang ditandatangani bagi memastikan kemenangan dalam PRU 14 dan agenda memertabat rakyat dapat direalisasi.

Sheikh Omar Ali 
Penolong Setiausaha Publisiti DAP Johor

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...