TERKINI :

Friday, January 1, 2016

Tren shuttle komuter Butterworth-Padang Besar bermula

JUMAAT, 1 JANUARY 2016 - 12:05PM TREN shuttle Keretapi Tanah Melayu (KTM) komuter bagi laluan Butterworth-Padang Besar-Butterworth mula beroperasi hari ini

KUALA LUMPUR: Perkhidmatan tren shuttle Keretapi Tanah Melayu (KTM) komuter bagi laluan Butterworth-Padang Besar-Butterworth mula beroperasi hari ini dengan kadar tambang bermula RM1 membabitkan 13 stesen perhentian.

KTM Berhad dalam kenyataannya berkata, tiga koc disediakan menawarkan enam perjalanan sehari secara keseluruhan bagi laluan Butterworth-Padang Besar-Butterworth, yang mengambil masa perjalanan satu jam 45 minit sehala.

"Kadar tambang bagi perkhidmatan ini amat berpatutan iaitu serendah RM1 hingga RM11.40 bagi perjalanan sehala untuk dewasa. "KTMB turut menawarkan tiket konsesi dengan tambang separuh harga bagi warga emas, orang kurang upaya (OKU) dan kanak-kanak berumur empat hingga 12 tahun, manakala kanak-kanak di bawah empat tahun adalah percuma," menurut kenyataan itu.

Menurut KTMB, perkhidmatan KTM Komuter itu akan berhenti di 13 stesen iaitu Butterworth, Bukit Tengah, Bukit Mertajam, Tasik Gelugor, Sungai Petani, Gurun, Kobah, Alor Setar, Anak Bukit, Kodiang, Arau, Bukit Ketri dan Padang Besar. Jadual perjalanan setiap hari dari Butterworth akan bermula pada jam 5.45 pagi, 10.45 pagi dan jam 3.30 petang, manakala perjalanan dari Padang Besar akan bermula pada jam 8 pagi, 12.50 tengah hari serta jam 6.30 petang.

Sementara itu, KTMB memaklumkan perkhidmatan tren elektronik (ETS) EG9501 dan EG9502 dari Butterworth-Padang Besar-Butterworth ditamatkan perkhidmatan bermula hari ini. "Penumpang yang sudah membeli tiket boleh mendapatkan pemulangan tambang penuh di mana-mana kaunter tiket KTM Antarabandar dan ETS," katanya.

Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut boleh melayari laman sesawang KTMB di www.ktmb.com.my atau menghubungi pusat panggilan KTMB di talian 0322671200 atau layari twitter @ktmkomuter. - BERNAMA

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...