TERKINI :

Monday, January 11, 2016

Tiga faktor harga ayam naik mencecah RM13 seekor di Pasar Besar Alor Setar

Tiga faktor harga ayam naik

ALOR SETAR - Kenaikan harga ayam yang mencecah RM13 seekor di Pasar Besar Alor Setar dikenal pasti berpunca daripada faktor cuaca, permintaan dan penawaran.

Ketua Pegawai Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Kedah, Shahrudin Hamzah berkata, pihaknya menerima aduan orang ramai berhubung kenaikan harga ayam di pasaran selepas Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Krismas berakhir 27 Disember lalu.

“Hasil pemeriksaan, mendapati ayam yang dijual pada harga RM13 seekor adalah ayam yang dilayur dan mempunyai berat sekitar 1.5 sekilogram. Berlaku sedikit kenaikan di pasaran,” katanya, selepas operasi pemeriksaan harga di Pasar Besar Alor Setar.

Menurutnya, hasil pemantauan ke atas 13 gerai menjual ayam, mendapati harga ayam standard sekitar lingkungan RM7.20-RM8 sekilogram manakala harga ayam standard yang dilayur antara RM7.50-RM8.50 sekilogram.

“Pemantauan ke atas harga sayur-sayuran pula mendapati cili besar dijual pada harga RM11-RM15 sekilogram manakala tomato dijual RM4-RM4.50 sekilogram, kubis bulat antara RM2.50-RM3.50,” katanya.

Shahrudin berkata, pemeriksaan kesemua 247 gerai menjual barang basah dan kering mendapati semua peniaga mempamer tanda harga pada barang jualan serta menggunakan alat timbang dalam tempoh penentusahan selain mematuhi undang-undang diperuntukkan bawah KPDNKK.

“Tempoh kuatkuasa Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Krismas telah tamat. Sebanyak 12 jenis barang harga terkawal sepanjang tempoh itu; ayam hidup, ayam standard, ayam super, daging kambing tempatan bertulang, daging kambing biri-biri import bertulang, daging kambing biri-biri import tanpa tulang, daging paha kambing biri-biri import bertulang, telur ayam gred A, B, C, tomato dan lada benggala hijau,” katanya.

Menurutnya, pengguna tidak perlu gusar atau panik berikutan kenaikan atau penurunan harga barang terbabit adalah perkara biasa, bagaimana pun peniaga dinasihatkan tidak menaikkan harga secara melampau.

“Pegawai penguatkuasa dan pegawai pemantau harga KPDNKK akan berada di lokasi tumpuan ramai membeli belah seperti pasar awam, pasar pagi dan pasar tani untuk menjalankan pemeriksaan dan pemantauan. Peniaga yang melakukan kesalahan boleh dikenakan tindakan bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011,” katanya.

Shahrudin mengingatkan orang ramai supaya membuat aduan sekiranya mendapati peniaga tidak mematuhi arahan dengan menghubungi talian bebas tol KPDNKK, 1800 886 800 atau lapor ke pejabat KPDNKK terdekat.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...