TERKINI :

Tuesday, January 5, 2016

Tekad kukuhkan Pakatan Harapan demi rakyat

 Sidang media Pakatan Harapan di Wisma Amanah
Pakatan Harapan (PH) akan memeterai perjanjian pada 9 Januari ini bagi mengukuhkan Parti Amanah Negara (Amanah), PKR dan DAP ke arah kesatuan yang mampan.

Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, perjanjian itu akan ditandatangani dalam Persidangan Pimpinan Pakatan Harapan yang pertama kali diadakan.

Perjanjian ini juga akan membentuk dokumen Dasar-dasar Bersama Pakatan Harapan yang akan diumumkan di Konvensyen Pakatan Harapan yang dijangka akan diadakan menjelang Jun 2016.

“Keputusan untuk menguatkan lagi persefahaman politik antara ketiga-tiga parti lahir daripada keinsafan bahawa rakyat mahukan sebuah pakatan politik yang lebih bersatu padu dan dan utuh, sesuai dengan sokongan rakyat terhadap agenda perubahan yang dibawa,” kata beliau selepas mesyuarat Majlis Presiden di Wisma Amanah, Jalan Kuching hari ini.

Antara yang turut serta dalam sidang media tersebut ialah presiden Amanah, Mohamad Sabu, setiausaha agung Anuar Tahir, penasihat DAP Lim Kit Siang dan naib presiden PKR Tian Chua.

Perjanjian ini mengandungi tujuh fasal utama mengenai prasyarat berhubung prinsip dan kaedah membuat keputusan; prinsip dan kaedah membina kesatuan politik antara parti; prinsip dan kaedah dalam menyelesaikan pertikaian antara parti; prinsip dan kaedah dalam membangunkan dasar-dasar bersama dan kepatuhan kepada dasar-dasar bersama; prinsip dan kaedah menguruskan perjalanan pilihan raya termasuk penentuan kerusi yang ditandatangani; prinsip dan kaedah menguruskan perjalanan kerajaan Pakatan Harapan dan blok pembangkang; prinsip dan kaedah menangani keadaan apabila perjanjian ini dilanggari.

Menurut Wan Azizah juga, atas kekuatan kesatuan politik hasil daripada Perjanjian Pakatan Harapan ini, PH akan memberi tumpuan seterusnya untuk membangunkan satu kerangka dasar-dasar yang jitu dan radikal ke arah mencari penyelesaian berkesan kepada masalah rakyat dan membina sebuah negara yang inklusif dan berdaya saing.

“Pemeteraian Perjanjian Pakatan Harapan ini adalah kemajuan besar yang melambangkan kematangan politik PKR, DAP dan Amanah yang berjaya mengenepikan kepentingan politik masing-masing demi mencapai persetujuan ini.

Persidangan ini akan berlangsung selama setengah hari di Pusat Konvensyen Shah Alam dan akan diwakili oleh 50 orang daripada setiap parti.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...