TERKINI :

Tuesday, January 5, 2016

Syarikat bermasalah perlu ikut jejak 1MDB

Joe Fernandez | January 4, 2016

Kerajaan boleh menggunakan contoh program rasionalisasi 1MDB untuk membantu syarikat-syarikat lain yang dibebani hutang

shahbudin,najib

KUALA LUMPUR: Semua tanah-tanah kerajaan yang berpotensi dan bernilai tinggi di dalam kawasan bandar harus segera diwartakan di bawah program transformasi oleh kerajaan, tegas seorang penganalisis politik.

“Digazetkan untuk program transformasi kerajaan membantu syarikat atau ahli perniagaan yang terbeban dengan hutang yang banyak..”

Penganalisis itu, Shahbudin Husin, berhujah bahawa pendekatan menjual aset dan tanah kepada orang asing samada secara langsung atau tidak langsung yang digunapakai oleh 1MDB boleh dianggap sebagai transformasi bernilai tinggi yang dicari-cari oleh pentadbiran dan kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Ia seperti memberi isyarat bahawa mana-mana syarikat atau ahli perniagaan yang banyak hutang, boleh dengan segera memohon tanah-tanah kerajaan yang akan diberikan dengan harga paling murah untuk melangsaikan beban tanggungan mereka.”

Maka, menurut penganalisis itu lagi, adalah menjadi kewajikan kerajaan-kerajaan negeri supaya mengikut jejak pentadbiran Najib dengan menyerahkan aset-aset dan tanah-tanah kepada syarikat dan ahli perniagaan yang dibebani hutang.

“Sebaik saja kelulusan tanah diperolehi, apa yang perlu dilakukan oleh syarikat atau ahli perniagaan yang memperolehinya ialah mengemukakan cadangan pembangunan yang menarik dan kemudian segera mencari pembeli atau pelabur asing untuk membelinya.”

Shahbudin bagaimanapun mengingatkan supaya jangan mencari pelabur atau pembeli tempatan kerana mereka tidak mempunyai jumlah duit yang diperlukan.

“Sebaiknya carilah pembeli dari Singapura, China atau mana-mana negara Arab yang banyak wang.”

“Jangan juga tanah itu diusahakan sendiri kerana ia tidak menunjukkan jiwa global dalam perniagaan.”

Shahbudin merasakan elok tanah dan aset itu dijual kepada orang asing, walaupun dijual 100 peratus kalau harganya terlalu menarik.

“Jangan hiraukan jika ada kritikan yang mengatakan penjualan kepada pihak asing itu suatu perbuatan aniaya kepada bangsa dan negara sendiri atau mungkin kemudian menyebabkan lebih ramai rakyat negara asing berhijrah ke sini.”

“Fikirkan hanya tentang wang dan agar hutang boleh diselesaikan dengan segera.”

“Dengan sekian banyak wang yang diperolehi itu, bayarlah segala hutang bertimbun yang ada yang mungkin kerana hutang keliling pinggang itulah menyebabkan mereka turut dipandang serong oleh masyarakat sekeliling selama ini.”

Dengan terlangsainya hutang-hutang itu, tambah Shahbudin, terbukalah peluang untuk membawa isteri dan keluarga melancong ke luar negara dan membeli-belah.

“Pilihlah mana saja – New York, London, Dubai, Hong Kong dan sebagainya.”

“Buatlah umrah sebelum pulang ke tanahair. Kalau ada Facebook atau masuk mana-mana grup Whatsapp, layangkanlah sekeping dua gambar sedang menunaikan umrah atau ketika memakai jubah di kota suci Mekah itu.

“Belilah sedikit buah tangan berupa kurma, jubah, sejadah dan tasbih untuk diberikan kepada kawan atau rakan, orang surau, orang kampung atau mereka yang rapat sebagai tanda kenang-kenangan.”

Sekembalinya ke tanahair, penganalisis itu menasihatnya ahli perniagaan yang diselamatkan itu supaya teruslah berjubah dalam seminggu atau dua, dan berkunjung ke surau dan masjid untuk solat berjemaah.

“Secara perlahan-lahan, percayalah, semuanya akan dilupakan.”

“Orang tidak akan menyebut lagi bahawa hutang perniagaannya selama ini kerana banyak bersukaria dan berfoya-foya.”

Shahbudin percaya tiada siapa yang mahu mengingat atau bersuara mengenai hutang yang dilangsaikan melalui pembelian aset dan tanah pemberian kerajaan yang diperolehi dengan harga murah dijual kepada pembeli dan pelabur negara asing.

“Yang lebih disebut akhirnya ialah pemergian ahli perniagaan itu menunaikan umrah, jubah yang dipakainya serta buah tangan yang dibelinya di Mekah.”

“Semua yang buruk dan kepincangan selama ini seolah-olah telah dicuci dengan mengerjakan umrah tadi.”

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...