TERKINI :

Tuesday, January 5, 2016

SUDAH TERBUKTI - #CARIDERMA LEBIH MUDAH UNTUK #TAMBAHPENDAPATAN

Shahbudin Husin, 

 
Selepas menimbulkan kontroversi dan kemudian mendapat perlekehan ramai berhubung kenyataannya menggalakkan rakyat melakukan dua kerja, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Ahmad Maslan kini cuba mempromosi #tambahpendapatan pula.

Katanya, #tambahpendapatan dilihat merupakan pendekatan yang lebih positif dalam usaha membantu rakyat menangani beban kos sara hidup yang kian meningkat.

Saya sendiri ingin membantu rakyat menambah pendapatan dengan menggunakan tagline #tambahpendapatan dalam Twitter saya dan bagaimana agensi-agensi di bawah MITI boleh melaksanakan idea tersebut, kata Ahmad Maslan yang juga merupakan Ketua Penerangan UMNO.

Barangkali Ahmad Maslan berniat baik mahu membantu rakyat dalam menambah pendapatan, tetapi tentunya ramai yang tertanya-tanya bagaimana untuk mengorak langkah ke arah itu di ketika ekonomi begitu lembab, wang dalam poket semakin berkurang, peluang niaga terhad dan aset serta tanah negara satu persatu mulai dijual kepada negara asing?

Apa lagi yang boleh dilakukan oleh rakyat biasa untuk menambah pendapatan mereka? Apa lagi yang masih ada dalam negara untuk dikembangkan?

Dalam hal ini, apa kata Ahmad Maslan memperkenalkan program menggalakkan rakyat mencari dan mengutip derma dengan lebih agresif lagi?

Berdasarkan kejayaan Najib memperolehi derma sehingga RM2,600 juta, ia secara tidak langsung menunjukkan rakyat Malaysia berpotensi besar dalam mendapat kepercayaan mereka yang mahu memberikan derma.
Tidak pernah sesiapa dalam dunia ini yang mampu mendapat kepercayaan begitu tinggi sehingga ada yang sedia memberikan derma sebanyak itu dan ini memperlihatkan ia boleh dikembangkan sebagai sumber baru bagi rakyat menambahkan pendapatan.

Program ini boleh diperhebatkan dengan menggalakkan lagi rakyat mencari derma bukan saja di dalam negara, tetapi mesti berani melangkah sehingga di luar negara. Bermakna bukan saja glokal, tetapi juga global.

Dalam masa yang sama, berdasarkan kejayaan Najib yang tidak pernah dicapai oleh mana-mana pihak di dunia ini, Ahmad Maslan juga boleh menjadikan Perdana Menteri sendiri sebagai "duta produk" untuk beliau berkongsi rahsia bagaimana untuk meyakinkan orang-orang kaya menghulurkan derma mereka.

Sudah tentu ramai yang ingin tahu bagaimana Najib boleh begitu berjaya dalam mendapatkan derma sedangkan Tun Mahathir Mohamad yang lebih dikenali di kalangan negara-negara Arab hanya mampu memperolehi sumbangan kitab-kitab saja ketika berusaha mencari dana untuk menubuhkan Universiti Islam Antarabangsa dahulu.

Mat oh Mat...mari kita cepat-cepat beralih kepada  #cariderma untuk menambahkan pendapatan rakyat yang semakin sengsara di bawah kepimpinan Najib ini. (SH 05/01/2016).

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...