TERKINI :

Tuesday, January 12, 2016

Sik - Sumbangan dana untuk bina rumah, surau

Tiada dana bina rumah, surau

SIK - Pertubuhan Kebajikan Warga Emas (Perkewa) Raudhatul Jannah di Kampung Charuk Tualang, Bandar Baru Beris Jaya di sini, memerlukan bantuan dana RM350,000 bagi membina rumah warga emas dan surau pusat jagaan berkenaan.

Pengasas pertubuhan itu, Allias Abdullah berkata, kos bagi pembinaan 10 unit rumah warga emas dianggarkan berjumlah RM200,000, manakala surau dianggarkan berjumlah RM150,000.

"Keluasan surau yang ingin dibina ialah 1411.2 meter persegi (4704 kaki persegi) dan keluasan untuk 10 unit rumah warga emas adalah 960 meter persegi (3200 kaki persegi),” katanya.

Bagaimanapun katanya, akibat kekangan sumber kewangan, pihaknya berdepan masalah untuk melaksanakan kedua-dua pembinaan itu.

http://www.sinarharian.com.my/polopoly_fs/1.471198!/image/image.jpg_gen/derivatives/landscape_700/image.jpg
"Kami amat mengalu-alukan sumbangan daripada mana-mana pihak yang ingin membantu memudahkan pembinaan ini dan dalam masa sama pihak kami juga membuat jualan wakaf bernilai RM25 bagi satu meter persegi,” katanya.

Allias berkata, penempatan bagi pelajar tahfiz akan dibina pada masa akan datang, namun fokus utama pihaknya adalah memberi keutamaan bagi menyiapkan surau dan rumah warga emas terlebih dahulu.

“Setakat ini, kita ada menerima permohonan untuk kemasukan warga emas seramai 11 orang, namun kami belum mendaftarkan mereka secara rasmi kerana rumah berkenaan masih belum siap.

“Cadangan untuk menyiapkan kedua-dua projek ini adalah pada tahun 2017, mudah-mudahan niat baik pihak Perkewa untuk membantu masyarakat dan menyampaikan dakwah dipermudahkan,” katanya.

Dalam pada itu, Allias berkata, dana berjumlah RM180,000 juga amat diperlukan bagi membayar kos baki bayaran tapak tanah yang masih belum diselesaikan.

“Pihak kami benar-benar mengharapkan sumbangan kewangan, dana yang digunakan juga adalah hasil sumbangan masyarakat sebelum ini,” katanya.

Mengulas lanjut, Allias berkata, keadaan warga emas yang sebahagiannya diabaikan di daerah ini menyebabkan pihaknya terpanggil untuk membantu golongan berkenaan menjalani kehidupan lebih baik.

Menurutnya, rata-rata warga emas di sini masih lagi bekerja mencari rezeki walaupun ada di antara mereka sudah mencecah usia 60 hingga 70 tahun.

“Dengan terbinanya pusat jagaan ini, pihak kami berharap mana-mana warga emas yang kebajikan mereka terabai dapat menjalani kehidupan baru dan lebih selesa.

“Selain menyediakan makan dan minum percuma, pertubuhan kebajikan ini juga akan menyediakan pengajian Kitab Turath jawi kepada mereka dengan diajar oleh alim ulama,” katanya.

“Pertubuhan kebajikan ini didaftarkan secara sah dan mengikut saluran betul,” katanya.

Mana-mana individu atau pihak yang ingin menderma boleh berbuat demikian melalui akaun Bank Islam Malaysia Berhad di nombor akaun 02020010072235 atas nama Perkewa atau menerusi MayBank Malaysia Berhad di nombor 552189512028 di atas nama Perkewa Raudhatul Jannah Sik.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...