TERKINI :

Friday, January 15, 2016

Sik - ‘Sini bukan laluan lori balak’... laaa ada jugak dok tebang balak rupa-rupanya..!!

‘Sini bukan laluan lori balak’

‘Sini bukan laluan lori balak’

SIK - Tindakan pemandu lori muatan balak menggunakan jalan utama Felda Teloi Timur menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan penduduk kampung itu kerana didakwa boleh membahayakan keselamatan mereka.

Sinar Harian difahamkan, jalan utama yang menghubungkan antara Sik, Baling, Kuala Ketil dan Sungai Petani itu dibina pada tahun 2013 sebagai jalan alternatif bagi penduduk setempat.

Bagaimanapun, sejak jalan itu dibina, ia mula menjadi tumpuan pemandu lori muatan balak, pasir dan batu.

Rata-rata penduduk meluahkan kebimbangan terhadap keselamatan mereka yang terancam dengan kehadiran kenderaan berat berkenaan.

Penduduk, Azzahari Zakaria, 43, berkata, kehadiran lori balak itu mengancam keselamatan penduduk kerana saiz jalannya yang hanya sesuai dilalui kenderaan ringan.

Menurutnya, penduduk dan pengguna kenderaan ringan berhadapan risiko kemalangan setiap kali berselisih dengan lori balak tersebut.

“Saiz jalan ini tak begitu lebar di kampung ini hanya sesuai untuk kenderaan ringan sahaja, ia tidak wajar digunakan oleh kenderaan berat.

“Selain itu, penduduk juga menghirup udara kotor yang mengandungi asap dan habuk jalan setiap kali lori balak ini lalu di kawasan kami, ini libatkan kesihatan penduduk,” katanya.

Azzahari berkata, keselamatan pelajar sekolah juga terancam berikutan ramai di antara mereka menunggang motosikal untuk ke sekolah berhampiran.

Menurutnya, selain itu, jalan utama kampung tersebut akan sibuk pada setiap Selesa kerana terdapat pasar dibuka di kawasan berdekatan bermula jam 8 pagi hingga 1 petang.

"Risiko kemalangan pada hari itu lebih tinggi berbanding hari lain memandangkan ramai pengguna akan berselisih dengan lori balak yang datang dari kedua-dua arah.

“Kehadiran lori balak akan menyebabkan jalan jadi sempit, keadaan ini membahayakan pengguna,” katanya.

Manakala Salleh Mad Isa, 67, berkata, beberapa kenderaan lain hampir terlibat dengan kemalangan akibat terpaksa mengelak lori berkenaan.

Menurutnya, walaupun lori yang dipandu hanya berkelajuan sederhana, namun saiz kenderaan itu membahayakan pengguna jalan raya.

“Dulu lori yang masuk kampung ini hanya lori besar yang biasa dilihat, namun sekarang ini treler turut menggunakan jalan ini,” katanya.

Salleh berkata, jalan di kampung itu menjadi pilihan kenderaan berat kerana menjimatkan masa dan perjalanan.

Menurutnya, sebelum laluan berkenaan dibina, semua kenderaan berat akan menggunakan jalan di Parit Panjang yang turut menghubungkan Sik dengan Baling, Kuala Ketil dan Sungai Petani.

“Laluan di sini lebih dekat berbanding laluan asal, sebab itu kenderaan berat di sini menggunakan jalan ini ,” katanya.

Harun Ayob, 66, berkata, akibat sering dilalui kenderaan berat, jalan alternatif tersebut mengalami kerosakan.

Jelasnya, keadaan jalan berkenaan kini tidak rata dan berlubang-lubang kerana dilalui lori balak setiap hari.

“Selepas itu, jalan itu dilalui pula lori pasir dan batu sehingga kesannya terang-terangan memberi risiko kepada penduduk,” katanya

Dua kali hantar rayuan

Sementara itu, Ketua Peneroka Felda Teloi Timur, Khamis Bakar, 63, berkata, pihaknya sudah menghantar dua kali rayuan kepada pihak berkenaan bagi mencadangkan pembinaan bonggol dan palang supaya tidak dilalui lori tersebut namun ditolak.

Menurutnya, beliau dimaklumkan oleh pihak berkenaan cadangan tersebut sukar untuk dilaksanakan memandangkan laluan itu berstatus jalan persekutuan.

“Jika bukan jalan persekutuan sudah lama pihak Felda melakukan sesuatu, namun disebabkan ia di luar bidang kuasa kami maka sehingga hari ini belum ada jalan penyelesaian dapat dibuat,” katanya.

Khamis berkata, masalah itu juga pernah dibawa ke dalam parlimen kawasan tersebut, namun tiada penyelesaian diterima.

Beliau berharap, pihak berkuasa dapat melakukan sesuatu agar masalah berkenaan dapat diselesaikan segera.

Katanya, pihak berkuasa perlu bertindak segera dengan melarang laluan kampung tersebut daripada dilalui kenderaan berat.

“Kenderaan berat disyorkan tidak lagi lalu di kawasan ini kerana mendatangkan bahaya kepada penduduk,” katanya.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...