TERKINI :

Monday, January 18, 2016

SIK - ‘Sampai bila kami kena sabar?’.. masalah ayaq dah bertahun dah nie..!!!


SIK - Penduduk Kampung Felda Teloi Timur, di sini, sudah tidak sanggup lagi berhadapan dengan masalah bekalan air di kampung berkenaan sejak setahun lalu.

Masalah bekalan air yang dialami didakwa berpunca daripada paip utama bawah tanah yang kerap pecah.

Penduduk, Azzahari Zakaria, 42, berkata, paip utama bawah tanah yang terletak berhampiran jalan utama itu kerap pecah disebabkan gegaran berpunca daripada kenderaan berat yang menggunakan laluan berkenaan.

Menurutnya, akibat masalah itu, bekalan air sering terjejas terutama pada waktu siang sehingga menyebabkan urusan harian penduduk tergendala.

“Waktu pagi air selalu tak ada sampai ke malam. Perkara ni berlarutan sejak kenderaan berat mula guna jalan di kawasan ini.

“Paip utama pun dah banyak kali diperbaiki, tapi lepas tu pecah semula disebabkan gegaran daripada lori berkenaan,” katanya.

Azzahari berkata, jemaah di masjid juga menghadapi masalah sama terutamanya ketika ingin mengambil wuduk dan pergi ke tandas.

Jelasnya, masalah air itu juga menyebabkan aktiviti kemasyarakatan sukar untuk dijalankan.

“Setiap kali ada majlis kenduri, bekalan air sentiasa tak cukup sampai penduduk terpaksa minta Syarikat Air Darul Aman Sdn Bhd (Sada) menghantar air ke sini," katanya.

Peniaga, Norizah Ismail, 39, berkata, perniagaannya terjejas akibat masalah bekalan air yang belum diselesaikan.

Menurutnya, urusan untuk membasuh bahan mentah sebelum dimasak juga kerap terganggu disebabkan paip bawah tanah kerap pecah.

“Bila jadi macam ini persediaan nak jalankan perniagaan pada waktu pagi memang susah. Kadang-kadang saya nak minum pun terpaksa beli air mineral di kedai,” katanya.

Bagi penduduk, Normah Majid, 56, oleh kerana rumahnya terletak di kawasan tinggi, bekalan air lebih sukar untuk didapati.

Jelasnya, tekanan air yang rendah terutamanya pada siang hari menyebabkan rumahnya sering tiada air.

“Bila buka paip hanya bunyi tekanan angin sahaja, air tak keluar,” katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Sik, Dr Mansor Abd Rahman berkata, pihaknya sudah mencari jalan untuk menyelesaikan masalah yang berpunca dari kenderaan berat berkenaan.

Katanya, tindakan untuk membina jalan alternatif bagi menggantikan jalan sedia ada sedang diusahakan.

“Masalah ini pernah dibawa ke dalam parlimen dan pihak atasan akan menyelesaikan masalah ini,” katanya.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...