TERKINI :

Monday, January 18, 2016

Siasatan SRC, RM2.6 bilion balik ke tangan SPRM, Peguam Negara mahu penjelasan

Deposit wang RM2.6 bilion yang dikatakan didermakan kepada perdana menteri turut disiasat SPRM. Peguam Negara hari ini berkata kertas siasatan dikembalikan bagi mendapatkan penjelasan. – Gambar fail The Malaysian Insider, 18 Januari, 2016.
Pejabat Peguam Negara hari ini mengumumkan kertas siasatan berhubung isu SRC International dan "derma" RM2.6 bilion dikembalikan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali dalam satu kenyataan berkata ia bagi mendapatkan penjelasan daripada SPRM.

"Setelah meneliti keseluruhan keterangan di dalam kertas-kertas siasatan tersebut, jabatan ini pada hari ini mengembalikan kertas-kertas siasatan tersebut untuk mendapatkan penjelasan daripada pihak SPRM mengenai beberapa cadangan dan tindakan yang disyorkan oleh pihak SPRM," kata kenyataan tiga perenggan itu.

"Jabatan ini juga mengarahkan agar kertas-kertas siasatan tersebut dikembalikan dalam masa terdekat."

Pada 31 Disember, SPRM berkata ia sudah menghantar kertas siasatan itu kepada peguam negara selepas mengambil keterangan hampir 100 individu termasuk penderma RM2.6 bilion.

SPRM bertanggungjawab menyiasat dana RM4 bilion daripada SRC, dan bukan syarikat sarat hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang diilhamkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini mengecam Apandi dengan meramalkan beliau tidak akan mengambil sebarang tindakan terhadap siasatan SPRM itu.

Apandi membidas Dr Mahathir dengan berkata beliau akan membuat keputusan tanpa takut dan pilih kasih. – 18 Januari, 2016.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/siasatan-src-rm2.6-bilion-balik-ke-tangan-sprm-peguam-negara-mahu-penjelasa#sthash.6xV063wK.dpuf

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...