TERKINI :

Tuesday, January 12, 2016

Sg Petani - Lima rumah rosak dilanda puting beliung

Lima rumah rosak dilanda puting beliung

SUNGAI PETANI - Lima rumah di kawasan perumahan Taman Bandar Puteri Jaya, di sini, rosak selepas kawasan itu dilanda puting beliung, petang semalam.

Kejadian yang berlaku kira-kira jam 2.45 petang itu menyebabkan siling dan bumbung rumah diterbangkan angin kuat, namun cuaca tidak hujan.

Tiada sebarang kemalangan jiwa berlaku akibat kejadian itu.

Suri rumah, Zurina Shari, 40, berkata, ketika kejadian, dia berada di ruang tamu dan anaknya berusia lima tahun sedang tidur di dalam bilik, sebelum terdengar bunyi deruman angin kuat.

“Dah agak, mesti kejadian puting beliung, saya tengok melalui tingkap, bila angin ke arah rumah saya, saya lari masuk ke dalam bilik.

"Bunyi angin kuat, bumbung rumah saya tercabut dan diterbangkan angin. Memang terkejut kerana ini adalah kejadian pertama yang menimpa rumah saya,” katanya yang kerugian kira-kira RM1,000.

Sementara itu, Zaidi Said, 39, berkata, beliau terkejut apabila melihat sendiri angin kuat berpusing seperti puting beliung yang membawa sampah dan berpusar menghala ke kawasan rumah jirannya.

"Ketika itu saya berada dalam rumah dan ternampak puting beliung menghala ke arah rumah jiran.

"Tak sampai satu minit, macam kilat angin berpusar dari arah padang tidak jauh dari kawasan perumahan kami sebelum bumbung rumah jiran diterbangkan angin,” katanya.

Susulan kejadian itu, semua mangsa dalam kejadian itu membuat laporan di Balai Polis Sungai Petani.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...