TERKINI :

Saturday, January 23, 2016

"Saya Bertuah kerana dapat menyertai skuad Helang Merah " - Fakri Saarani

MUKA baru Kedah, Ahmad Fakri Saarani menganggap dirinya bertuah kerana dapat menyertai skuad Helang Merah yang merupakan juara Liga Premier dan naib juara Piala Malaysia musim lalu.

Fakri yang dilahirkan di Pengkalan Chepa, Kelantan dan dibesarkan di Batu Gajah, Perak memulakan karier bola sepaknya bersama pasukan Piala Presiden Perak tidak menyangka akan diterima oleh  Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) menerusi kontrak selama setahun.

"Saya tidak sangka dapat mewakili  Kedah yang berjaya menjuarai Liga Premier dan layak ke perlawanan akhir Piala Malaysia musim lalu kerana barisan pemain mereka terdiri dari pemain muda yang begitu menonjol pada saingan musim lalu.

"Ketika dilamar KFA saya tidak berfikir panjang dan terus menerima tawaran mereka kerana saya mengetahui pasukan ini mampu menjadi kuasa bola sepak.

"Saya juga memerlukan cabaran baru dan yakin peluang untuk bersama barisan pemain muda serta tiga pemain import yang telah membuktikan kewibawaan mereka dan mampu meningkatkan prestasi secara peribadi," katanya kepada mStar Online.

Tambahnya, ketika pertama kali menghadiri sesi latihan bersama pasukan barunya, dia berasa agak kekok, namun keseluruhan pemain Kedah telah memberi layanan baik dan tindakan itu membuatkan dirinya cepat serasi.

"Kesemua pemain Kedah tidak kira muda atau yang dah lama bersama pasukan Hijau Kuning begitu serius ketika menjalani latihan kerana mahu memikat hati ketua jurulatih Tan Cheng Hoe bagi meletakkan diri mereka dalam kesebelasan utama.

"Saya mengetahui bukan mudah untuk berada dalam kesebelasan utama kerana saingan daripada kesemua pemain adalah begitu hebat dan cabaran beginilah yang mampu memastikan prestasi Kedah musim ini akan lebih mantap dan mencabar.

"Saya yakin pasukan Kedah mampu mencatatkan banyak lagi sejarah dengan barisan pemain yang dimilikinya tidak kira yang muda atau senior kerana kesungguhan dan komitmen yang tinggi dipamerkan  pada setiap sesi latihan," Jelas Fakri.

Fakri pernah mewakili Perak pada 2007 sebelum menyertai skuad  Harimau Muda. Dia kemudian mewakili Negeri Sembilan pada 2009 - 2012 sebelum berhijrah ke luar negara untuk menyarung jersi kelab Atletico Sports Club selama setahun.

Sebaik pulang ke tanah air pada 2013, pemain berkenaan menyertai  Kelantan sebelum bergelar pemain Kedah pada musim ini.
 

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...