TERKINI :

Thursday, January 14, 2016

Rakyat perlukan rumah, bukan menteri lemah atau jahil mengenai kuasa yang ada padanya..!!

Oleh ZainalFaqar Yaacob


Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) pada 5 Oktober 2006 pernah meluluskan 163 unit rumah mewah di D'Residence Bayan Mutiara dekat Bayan Baru berharga antara RM800,000 hingga RM3.5 juta, kerana Barisan Nasional yang menguasai kerajaan negeri semasa itu.

Apabila kerajaan Pulau Pinang berpindah tangan pada 2008, pemaju-pemaju swasta sendiri diarahkan membina rumah mengikut harga siling yang ditetapkan Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Tanah yang diambil untuk tujuan perumahan awam mesti dimajukan dengan rumah mampu milik sahaja, walaupun membabitkan pemaju swasta.

Harga siling rumah kos rendah RM42,500 dan rumah kos sederhana rendah (RM72,500) serta 3 kategori rumah mampu milik (RM200,000, RM300,000 dan RM400,000).

Sekarang tiada lagi pemajuan rumah mewah sebagaimana dilakukan oleh PDC pada 2006.

Selain ada kuasa memastikan harga rumah mampu milik di bawah harga siling yang ditetapkan, Kerajaan Negeri melalui Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) ada kuasa untuk meluluskan permohonan pelan kebenaran merancang atau tidak.

Kuasa yang ada ini membolehkan rumah-rumah Melayu di Kampung Mutiara dekat Batu Feringghi sehingga sekarang tidak dapat dirobohkan oleh tuan tanah persendirian.

Kerajaan Negeri menegaskan pendirian bahawa jika rumah-rumah Melayu dirobohkan tanpa pemberian pampasan yang munasabah, sebarang projek pembangunan yang dimohon oleh tuan tanah atau pemaju tidak akan diluluskan di atas tanah itu.

Sebenarnya, Kerajaan Negeri melalui PBT di Kuala Lumpur juga umpamanya ada kuasa seperti di Pulau Pinang.

Disebabkan PBT di sana tidak menggunakan kuasa seperti Kerajaan Negeri Pulau Pinang, begitu banyak kampung baru dan rakyatnya di Kuala Lumpur akhirnya hilang ditelan arus pembangunan.

Ini, kuasa sebuah Kerajaan Negeri. Kalau kuasa sebuah Kerajaan Negeri sebesar ini, bagaimana Datuk Abdul Rahman Dahlan boleh berdalih yang Kerajaan Persekutuan tiada kuasa menghalang pemaju daripada membina rumah mahal berbanding mampu milik.

Tidak mungkin beliau tunduk atau bersekongkol dengan mana-mana pemaju rumah mahal kerana tugasnya adalah membela kepentingan rakyat terbanyak.

Sama ada menteri itu lemah atau jahil mengenai kuasa yang ada pada sebuah Kerajaan Persekutuan, biarlah Abdul Rahman sendiri mencatur cara kerja politiknya yang aneh itu.

* ZainalFaqar Yaacob ialah Timbalan Pengerusi II PasMa Pulau Pinang di Kuala Lumpur.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...