TERKINI :

Monday, January 4, 2016

Putus segera isu hijab, hidangan arak dalam MAB

nufam
PETALING JAYA: Kerajaan digesa supaya membuat keputusan terhadap isu pemakaian hijab dan larangan anak-anak kapal beragama Islam menyediakan arak kepada para penumpang Malaysia Airlines Berhad (MAB).

Dalam satu kenyataan, Kesatuan Anak-anak Kapal Kebangsaan (NUFAM) menjelaskan, isu berkenaan sememangnya telah lama diperjuangkan namun, jawapan yang diterima sangat mengecewakan.

“Isu ini telah dibincangkan banyak kali kerana ia dibangkitkan sendiri oleh anak-anak kapal. Tetapi jawapan yang diterima sukar untuk berbuat demikian,” kata kenyataan berkenaan.

Kenyataan tersebut turut tidak menolak pendirian MAB bahawa syarikat penerbangan berkenaan mempunyai tanda dagangan antarabangsa yang menawarkan perkhidmatan kepada pelbagai penumpang bukan Islam di seluruh dunia.

Menurut kenyataan itu lagi, Kementerian Pengangkutan pernah mengadakan perbincangan mengenai perkara tersebut dengan pegawai-pegawai kesatuan serta membuat keputusan bagi meletak pendirian mengenai isu berkenaan.

“Isu ini dibangkitkan lagi oleh sesetengah pihak dan telah dibincangkan di Parlimen tetapi tidak ada apa-apa yang berlaku.

“Walaupun pemakaian hijab merupakan niat yang baik tetapi pada pandangan holistik, soalan-soalan yang perlu dijawab adalah sama ada MAS boleh mematuhi Syariah?

“Ahli kesatuan kami juga sebelum ini membuat permintaan kepada syarikat tetapi adakah syarikat penerbangan itu mahu mengubah dasar kerja untuk anak-anak kapal Islam?,” ujar kenyataan itu.

Tambah kenyataan itu lagi, isu pemakaian hijab di tempat kerja sepatutnya terkandung dalam persekitaran tempat kerja kerana ia boleh dianggap sensitif oleh undang-undang Syariah begitu juga dengan larangan menghidangkan arak oleh pekerja beragama Islam.

Katanya, sebagai pekerja, anak-anak kapal juga terperangkap dalam standard prosedur syarikat.

“Keadaan ini menyukarkan anak-anak kapal Islam untuk melaksanakan tugas sedangkan mereka tahu perbuatan itu salah. Terdapat juga isu semasa anak-anak kapal sedang berpuasa tetapi pada masa terpaksa menghidangkan alkohol,” tambah kenyataan itu.

Sehubungan itu, kerajaan diminta agar melihat isu berkenaan dan membuat sesuatu dalam menangani masalah yang sedang dihadapi.

Operasi Rayani Airlines yang patuh Syariah adalah satu langkah betul serta tepat dan langkah yang diambil oleh syarikat penerbangan itu patut membuka mata semua pihak.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...