TERKINI :

Friday, January 8, 2016

Putrajaya tak belajar daripada kesilapan lampau, Rafidah ulas isu bauksit

 Tan Sri Rafidah Aziz menyelar kerajaan kerana hanya bertindak apabila sesuatu projek sudah merosakkan alam sekitar pada tahap yang hampir tidak boleh diperbaiki melalui postingnya di Facebook. – Gambar fail The Malaysian Insider, 7 Januari, 2016.
Kerajaan perlu meneliti kos dan faedah projek-projek yang memberi impak kepada alam sekitar sebelum memberi kelulusan, kata bekas menteri Tan Sri Rafidah Aziz, susulan bantahan terhadap perlombongan bauksit di Pahang yang menyebabkan pencemaran teruk.

Sudah menjadi kebiasaan, katanya kerajaan hanya bertindak apabila sesuatu projek sudah merosakkan alam sekitar pada tahap yang hampir tidak boleh diperbaiki, tulisnya di laman Facebook beliau hari ini.

"Kita perlu memikirkan secara terperinci kos dan faedah yang datang berserta mana-mana usaha, yang melibatkan eksploitasi alam sekitar," tulisnya.

"'Manfaat' jangka pendek, terutama kepada segelintir orang, tidak seharusnya mengatasi kos jangka panjang yang perlu ditanggung kita dan generasi selepas kita... kos yang tidak boleh dinilai dari segi kewangan."

Bekas menteri perdagangan dan industri itu berkata, perlombongan bauksit membuatkan pemilik tanah menjadi "kaya dalam sekelip mata", tetapi akibatnya, air sungai bertukar merah.

Beliau berkata kerajaan nampaknya gagal belajar daripada tragedi masa lalu yang terjadi akibat "sikap tidak bertanggungjawab dalam mengeksploitasi tanah dan sumbernya", termasuk kejadian bangunan runtuh, tanah runtuh dan banjir besar.

"Tanggungjawab menjaga alam sekitar tidak harus dipandang ringan.

"Persekitaran yang tercemar, sama ada udara yang kita hirup untuk terus hidup, sumber air dan tanah tinggi serta tanah rendah kita... akan memberi kesan bukan sahaja kepada kita di zaman ini... tetapi juga generasi akan datang selepas kita."

Semalam, Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar mengumumkan pembekuan selama tiga bulan ke atas semua aktiviti perlombongan bauksit di Pahang bermula 15 Januari, untuk menyelesaikan masalah pencemaran. – 7 Januari, 2016.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/putrajaya-tak-belajar-daripada-kesilapan-lampau-rafidah-ulas-isu-bauksit#sthash.r43fNqxG.dpuf

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...