TERKINI :

Sunday, January 10, 2016

PM usah kelirukan rakyat dengan GST

Oleh Faiz Fadzil

http://1.bp.blogspot.com/-178cfT7YynI/VZNZ8nOjPtI/AAAAAAABMUI/xzMFOt8dWIQ/s640/Faiz.jpg
Kenyataan PM hari ini yang mengatakan GST menyelamatkan ekonomi negara dan menampung hasil kerajaan serta dapat membantu rakyat melalui pemberian BR1M cukup mengelirukan.

Tidakkah PM sedar yang rakyat kini sedang bergelut dengan tekanan ekonomi akibat kenaikan harga barang, petrol, tol, kos sara hidup dan caj pengangkutan awam.

Jika benar GST membantu rakyat, kenapa kadar tol perlu dinaikkan?

Bukankah kutipan GST sebanyak RM 27 bilion dalam tempoh 9 bulan pada tahun 2015 lebih daripada cukup untuk menampung bayaran kepada syarikat konsensi lebuh raya bagi mengelak kenaikan tol.

Pemberian BR1M juga tidak membantu meringankan bebanan perbelanjaan rakyat kerana hanya segolongan rakyat sahaja merasainya sedangkan kos sara hidup yang tinggi ini perlu ditanggung semua segmen rakyat termasuk yang tidak menerima BR1M.

Malahan, pemberian BR1M sebanyak RM1000 setahun tidak setimpal dengan anggaran purata GST yang dikutip daripada setiap rakyat sebanyak RM7000 setahun.

Hakikatnya kenaikan harga barang adalah akibat kesan langsung GST di mana para pengilang, pemborong dan pembekal bagi sesuatu produk dikenakan gst.

Maka harga produk siap yang dibeli rakyat perlu dinaikkan akibat GST dikenakan di peringkat awal.

Bukankah tanggungjawab kerajaan untuk meringankan beban rakyat dan bukannya menambah beban?.

GST sesungguhnya membebankan rakyat walaupun ia menjadi sumber hasil baru kerajaan.

Kenapa rakyat harus dihukum dengan GST bagi menampung kekurangan hasil kerajaan, sedangkan ianya disebabkan kelemahan dan salahurus kewangan negara.

Cukup melucukan GST membantu rakyat melalui pemberian BR1M sedangkan PM sendiri mengatakan hasil GST yang dikutip daripada rakyat digunakan bagi pemberian BR1M.

Dahulu, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Dato' Ahmad Maslan berjanji gst akan mampu menurunkan harga barang, kini PM pula menyatakan GST dapat membantu rakyat.

Sungguh sepadan dengan pemimpin negara ini. Benarlah peribahasa Melayu, umpama ketam mengajar anaknya berjalan. Usahlah perbodohkan rakyat lagi. –

* Faiz Fadzil ialah Timbalan Ketua Pemuda Amanah Nasional.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...