TERKINI :

Tuesday, January 12, 2016

PKR Dakwa Tiada Duti Eksport Untuk Bauksit, Kerajaan Tidak Kutip Cukai

PETALING JAYA: Kerajaan pada Selasa didakwa tidak mengenakan sebarang duti eksport terhadap aktiviti perlombongan bauksit di Pahang.

Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli yang mendedahkan perkara itu berkata, laman web Kastam Diraja Malaysia menunjukkan bahawa kadar duti eksport bagi bauksit menunjukkan angka 0 peratus.

"Berdasarkan maklumat ini bermakna eksport bauksit ke luar negara tidak dikenakan sebarang duti eksport dan Kerajaan Persekutuan tidak mengutip sebarang hasil.

"Jika Kerajaan Persekutuan peka dengan kesan perlombongan bauksit dan kos membaik pulih alam sekitar, paling kurang ia perlu mengenakan duti eksport sebanyak 10 peratus setanding dengan duti eksport ke atas eksport kelapa sawit," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat PKR di sini, Selasa.

Menurut Rafizi persoalan mengenai perkara ini timbul setelah beliau menyemak kod tarif bagi bauksit di laman web Kastam berdasarkan Akta396: Akta Pembahagian Duti Eksport Galian 1964, Seksyen 2(1) daN Seksyen 2(2).

Katanya, hasil semakan menunjukkan kod bauksit adalah 260600000 yang dikategorikan di bawah aluminium dan bukannya disenaraikan di bawah kodnya sendiri.

"Perkara yang mengejutkan dan membimbangkan saya apabila kadar duti eksport bagi bauksit di bawah kod 260600000 adalah 0 peratus.

"Ini bermakna kerajaan Persekutuan membuat keputusan untuk tidak mencukai eksport bauksit sedangkan pengusaha bauksit dilaporkan mendapat keuntungan bersih sehingga 40 peratus bagi setiap tan bauksit," katanya.

Justeru Rafizi menggesa agar Menteri Kewangan Datuk Seri Najib Tun Razak mengesahkan tentang perkara ini dan mengesahkan bahawa kerajaan telah lalai.

"Menteri Kewangan juga perlu mengesahkan akibat kelalaian itu kerajaan Persekutuan telah rugi sekurang-kurangnya RM180 juta dalam bentuk duti eksport bagi tahun 2015," katanya.

Dalam pada itu beliau turut mempersoalkan tentang Akta 396 di mana kerajaan negeri tidak boleh mengenakan royalti atau apa-apa caj ke atas perlombongan galian, termasuk bauksit, yang disenaraikan di bawah akta tersebut.

Ini kerana kerajaan Persekutuan telah mengenakan duti eksport yang separuhnya akan diagihkan kepada kerajaan negeri.

"Saya memetik kenyataan Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob pada 8 Januari di Bernama bahawa kutipan royalti bagi tahuhn 2015 oleh kerajaan negeri Pahang sepatutnya RM180 juta, bukannya RM47 juta yang dikutip," katanya.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...