TERKINI :

Saturday, January 16, 2016

Pertemuan Harapan Antara Mufti Wilayah Persekutuan dengan Archbishop Kuala Lumpur

KENYATAAN MEDIA: RESPON PERTEMUAN HARAPAN ANTARA MUFTI WILAYAH PERSEKUTUAN DENGAN ARCHBISHOP KUALA LUMPUR


“Katakanlah: ‘Hai ahli Kitab, Marilah (berpegang) kepada suatu kalimat (ketetapan) yang tidak ada perselisihan antara Kami dan kamu, bahwa tidak kita sembah kecuali Allah dan tidak kita persekutukan Dia dengan sesuatupun dan tidak (pula) sebagian kita menjadikan sebagian yang lain sebagai Tuhan selain Allah’. Jika mereka berpaling Maka Katakanlah kepada mereka: ‘Saksikanlah, bahwa Kami adalah orang-orang yang berserah diri (kepada Allah)’. (Ali ‘Imraan: 64)

1. Sejak isu kalimah “Allah” menggegarkan negara, hubungan Islam dengan Kristian telah diuji kepada satu tahap baru antara kebencian yang semakin menjauh dan usaha berdialog yang mendekatkan jurang. Saya berbangga untuk memilih jalan dialog yang telah saya rakamkan dalam buku saya “Engaging Christianity: A Travelouge Of Peace” terjemahan dari buku asal “Berdialog Dengan Gereja: Sebuah Travelog Kedamaian”.

2. Perjalanan selama hampir dua tahun dalam dua gelombang isu kalimah “Allah” iaitu akhir tahun 2009 dan 2011 telah menimbulkan kesedaran betapa jalan berdialog adalah tuntutan penting yang membentuk keperluan sebuah masyarakat madani dan syarat dialog untuk berlaku ialah menjalinkan kepercayaan terlebih dahulu dalam menjalinkan hunungan damai silang agama.

3. Walaupun segelintir masyarakat para skeptik terus memperkecilkan usaha ini dengan meneruskan simbahan api permusuhan samada dari pihak berotoriti mahupun para rasis yang bertopengkan nama bangsa dan agama, tetapi usaha membina jambatan kedamaian antara Islam dan Kristian semakin hari diterima sebagai satu bentuk jalan ke hadapan untuk kepentingan nasional dan kemanusiaan.

4. Syabas saya ucapkan kepada Mufti Wilayah Persekutuan Sahibus Samahah Dato’ Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri yang mengorak langkah ke arah pilhan berdialog dan membina kepercayaan dalam dunia yang penuh dengan prejudis. Syabas juga kerana tuduhan liar kepada penggiat dialog antara agama selama ini seperti saya dan rakan-rakan lain yang dituduh sebagai liberal dan pluralis kini terbukti tidak benar malah Sahibus Samahah Dato’ Mufti telah memperluaskan lagi cita-cita kedamaian dengan pihak Gereja agar diambil perhatian oleh puak pemikiran sempit di luar sana.

5. Dalam dunia serba kompleks multikulturisme dan implikasi krisis peperangan ke atas keganasan, langkah kedamaian adalah sinaran di celah kebangkitan ideologi ekstrim yang melanda umat Islam hari ini. Langkah Sahibus Samahah adalah episod gelap bagi para pembenci hubungan damai antara agama, tetapi bagi para pencinta kedamaian silang agama, ia adalah HARAPAN BARU yang tak kunjung padam bagi memulakan tahun 2016.


Yang Benar
Dato’ Dr Mujahid Yusof Rawa
Naib Presiden Parti Amanah Negara
Ahli Parlimen Malaysia
Bertarikh 9 Januari 2016

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...