TERKINI :

Saturday, January 16, 2016

Persoalan TPPA yang sukar ditelan

Oleh Ismail Hashim Yahaya

http://3.bp.blogspot.com/-LllwSwsGvJ8/VhSBzwi1XBI/AAAAAAAAh88/f2V9gcdi3l0/s1600/tppa.jpg
Akhirnya rundingan Perjanjian Perkongsian atau Persahabatan Trans-Pasifik (TPPA) (yang tidak berapa berkongsi dan bersahabat kerana jelas yang akan terjadi ialah gerak laku penyamun tarbus yang mencuri dan merompak secara terhormat melalui lunas undang-undang yang menguntungkan mereka) telah termeterai.Tetapi ia tidak berakhirnya di sini saja.

Dalam setiap negara anggota TPPA, termasuk Malaysia, orang awam mengetahui intipati perjanjian tersebut. Banyak persoalan yang masih tidak terjawab dan tergantung tentang impak TPPA ke atas Malaysia dan rakyatnya.

Media banyak melaporkan mengenai kesan dan memberikan ulasan berdasarkan kepada laporan terbuka yang dikemukakan.

Apa yang menjadi persoalan sekarang ialah capaian pasaran dan perdagangan yang merupakan salah satu bahagian daripada TPPA.

Lebih penting lagi impaknya itu termasuklah isu berkaitan dengan pelaburan, kewangan, hak milik intelektual, pemerolehan kerajaan, korporat milik negara (GLC), isu buruh dan alam sekitar.

Isu perdagangan pula berkaitan dengan eksport dan import sementara terdapat isu lain sangat berkaitan dengan degup jantung kerajaan iaitu dasar dan struktur dalam negara.

Isu pemilikan Bumiputera yang walaupun dijelaskan menteri perdagangan antarabangsa dan industri dengan begitu lunaknya seolah-olah tiada masalah langsung atau tidak terpijak mana-mana duri dalam perjanjian, ia masih menjadi isu hangat yang perlu dibincang dengan terperinci bukan sekadar penafian sahaja.

Ia bukan setakat mengatakan isu konsesi masih ada, dasar mengutamakan Bumiputera masih kekal, pemerolehan kerajaan dan GLC masih wujud. Ini adalah isu bukan perdagangan yang terpalit dan menjadi benang kusut yang perlu dileraikan.

Perkara seperti apakah konsesinya, sama ada cukup atau tidak dan apakah kesan daripada teks yang dimeterai itu harus dibincangkan dengan terbuka dan bukannya sekadar penafian di media.

Apa yang jelas ialah “ruang membuat dasar” yang bererti kedaulatan negara itu akan dipersempitkan sebagai akibat daripada TPPA.

Ini kerana negara yang memeterai perjanjian sudah tertakluk kepada peraturan TPPA, sudah diikat.

Mengenai isu harta atau hak pemilikan intelektual, pukulannya lebih ketara. Kebanyakan paten yang difailkan di Malaysia dalam syarikat pelabur asing akhirnya akan dimiliki warga asing. Jadi, apabila undang-undang paten diperkukuhkan, ia akan memanfaatkan orang asing yang menjadi pemegang patennya.

Monopoli yang diberikan kepada pemegang paten tentunya akan menjejaskan para pengguna di Malaysia yang harus membayar sesuatu barangan atau perkhidmatan dengan harga yang lebih tinggi dan syarikat Malaysia diharamkan daripada menghasilkan produk generik semasa tempoh paten.

Kalau tidak silap saya, kumpulan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Doktor Tanpa Sempadan (MSF) mengutuk TPPA sebagai “perjanjian perdagangan paling buruk untuk capaian kepada ubatan”.

Menurut MSF mereka yang ditimpa nasib malang daripada perjanjian TPPA ialah para pesakit dan yang terlibat dalam penyediaan perkhidmatan perubatan di negara sedang membangun kerana harga ubat akan naik.

Tambah MSF lagi tempoh monopoli yang dinikmati syarikat farmaseutikal gergasi akan dilanjutkan dan ini akan menangguhkan atau melambatkan persaingan harga daripada ubat generik.

Dengan ini terma paten mungkin akan dilanjutkan (dengan menambah masa diambil bagi pendaftaran ubat atau meluluskan paten).

Data dengan ekslusifnya diberikan untuk 5 tahun (atau mungkin lebih daripada tempoh masa tersebut, terutamanya untuk ubat baru yang dikenali sebagai biologiks), di mana syarikat generik tidak dibenarkan bergantung kepada data ujian daripada firma asal apabila mereka memohon untuk kelulusan pemasaran daripada pihak berkuasa perubatan.

Mengenai pelaburan, TPPA membuka jalan kepada syarikat asing untuk mendapat layanan tempatan atau layanan yang lebih istimewanya daripada syarikat tempatan.

Ini akan memberikan hak kemasukan dan pemilikan, pemindahan bebas dana sementara menghalang negara hos daripada mengenakan syarat dan keperluan seperti kandungan tempatan, pemindahan teknologi dan usaha sama.

Jika diteliti ini adalah mekanisme amat berkuasa kerana memberikan pengaruh kepada pelabur asing khususnya dalam sistem penyelesaian pertikaian antara negara pelabur asing (ISDS) di mana para pelabur boleh menyaman kerajaan dalam tribunal antarabangsa kerana telah melanggar hak mereka.

Perubahan dalam dasar kerajaan boleh membawa kepada tuntutan sebagai layanan tidak adil dan para pelabur asing boleh meminta kepada pampasan kerana kerugian dalam keuntungan yang dijangkakan.

Sudah terdapat ratusan kes ISDS yang dibuat terhadap kerajaan yang timbul akibat daripada perjanjian perdagangan bebas atau perjanjian pelaburan 2 hala.

Menurut laporan akhbar, dalam perjanjian TPPA terdapat beberapa hak bertindak seperti meleburkan keupayaan syarikat untuk membuat tuntutan yang tidak munasabah.

Tetapi masih tidak diketahui apakah dia dan bagaimana mekanismenya. ISDS masih dapat digunakan para pelabur asing sebagai alat untuk tindakan dan meletakkan negara anggota TPPA seperti Malaysia dalam kedudukan mempertahankan diri.

Dalam pemerolehan kerajaan, ruang membuat dasar dalam pemerolehan akan dibataskan. Keutamaan kerajaan memberikan projek kepada syarikat milik kerajaan dan juga dalam pembelian barangan dan perkhidmatan akan diserang balas para pelabur asing dengan hak yang sama bagi mendapatkan layanan tempatan kepada mereka.

Walaupun kita mengetahui Malaysia berunding untuk mendapat lebih banyak pengecualian dalam terma tahap capaian dalam pembelanjaan atau nilai projek di mana keutamaan diberikan kepada Bumiputera.

Namun perincian kepada capaian untuk Malaysia dan pengecualian untuk Bumiputera dan kecukupannya masih tidak diketahui hasilnya secara muktamad dan terbuka.

Mengenai syarikat pemilikan kerajaan, TPPA akan mengenakan peraturan dan batasan mengenai bagaimana ia akan digerakkan, tahap subsidinya, bagaimana pembelian bahan yang tiada layanan tempatan atau keutamaan kepada syarikat tempatan dan seumpamanya.

Matlamatnya ialah memberikan persaingan dan hak sama rata kepada syarikat asing dalam perolehan pasaran.

Rasanya Malaysia memang tidak selesa dengan isu syarikat milik kerajaan ini kerana tidak berjaya mendapatkan pengecualian 100%.

Bagaimanapun kerajaan akan cuba memasukkan sebanyak mungkin syarikat dalam senarai pengecualian (bermaksud syarikat ini tidak perlu mematuhi syarat dalam TPPA) tetapi berapa banyak atau had jumlah syarikat dalam senarai dan ciri penyenaraian ini tidak diketahui.

Perkara seperti dasar pelaburan, pemerolehan kerajaan dan syarikat milik kerajaan serta capaian kepada ubatan adalah isu penting yang menyentuh ekonomi politik negara dan struktur sosio-ekonomi rakyat.

Persoalan ini amat berkait dengan pembangunan ekonomi dan politik negara. Sekarang ia harus dipertahankan sebagai pengecualian dan keanjalan serta menjadi isu perdebatan dalam kalangan negara anggota TPPA. Sejauh manakah mereka boleh menerimanya.

Bab berkaitan dengan perkara ini adalah ubat pahit yang sukar ditelan dan perdebatan ini akan berterusan sama ada dimeterai atau sesudahnya.

Ya, isu yang sentiada ditekankan daripada TPPA ialah keuntungan dan kemanfaatan Malaysia apabila tiada tarif dikenakan semasa barangan kita masuk ke pasaran Amerika Syarikat.

Tetapi negara kita juga mengenakan tarif yang sederhana tinggi kepada kemasukan barangan import dan tidakkah kita juga harus mengurangkan banyak tarif kepada barangan import nanti.

Dan kita juga akan berdepan dengan lambakan barangan import yang banyak di pasaran tempatan.

Dengan kata lain, tiada jaminan TPPA akan memberikan keseimbangan perdagangan yang lebih baik dan agak bimbang mungkin ketidakseimbangan pula akan berlaku.

TPPA bukanlah suatu perjanjian muktamad kerana perdebatan sebenar baru bermula walaupun agak malang teksnya dimuktamadkan.

Semoga Sidang Kemuncak Bantah TPPA pada 9 Januari ini akan memberikan hasil bermakna dan impak supaya kerajaan menimbang semula untuk terus bersama TPPA atau sekurang-kurang lebih kritikal dengannya.

*Penulis ialah pensyarah di Fakulti Komunikasi dan Media, Universiti Selangor (Unisel) kampus Shah Alam.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...