TERKINI :

Friday, January 8, 2016

Perpaduan UMNO & PAS ke arah perbalahan kaum

Percaturan politik tanpa polemik kaum mahupun agama adalah satu-satu cara membina sebuah negara maju tanpa sebarang insiden perbalahan.

Oleh David Marshel

pas_umno_malaysia_600
Sejak kebelakangan ini masyarakat Malaysia disaji dengan kebencian yang amat dahsyat antara kaum dan agama oleh kumpulan-kumpulan pelampau. Kononnya mereka adalah penyelamat bangsa dan agama. Kerajaan pula mengubal pelbagai akta yang mengerunkan masyarakat atas alasan keganasan walaupun Malaysia tidak pernah dikejutkan oleh penganas masa kini.

Perpaduan diertikan sebagai eratkan hubungan sesama bangsa mahupun agama tetapi kini UMNO mengambil kesempatan erti perpaduan untuk kepentingan politik.

Perpaduan ala UMNO dengan PAS jelas bukan semata-mata untuk eratkan hubungan bangsa malah ia lebih kepada mengekalkan kuasa politik – penyelamat UMNO yang semakin parah dek terhakisnya kepercayaan rakyat terhadap kepimpinan negara. Maka idea perpaduan dicetuskan sejak beberapa tahun yang lalu. UMNO menafikan bahawa perpaduan yang ditaja oleh mereka bukan atas dasar kepentingan politik semata malah ia lebih kepada nasional.

Umum berpendapat agenda perpaduan perlu diutamakan berbanding integrasi kaum dan agama yang kini tercalar teruk akibat segelintir manusia yang terlalu ke arah pelampau, hinggakan pelbagai kritikan terhadap kaum atau agama dihamburkan secara terbuka. Tetapi parti pemerintah kerajaan pula lebih fokus kepada perpaduan politik atas nama bangsa dan agama.

PAS ialah sebuah parti politik berasaskan agama Islam dan hampir 99.9% ahlinya orang Melayu dan UMNO pula parti politik yang berasaskan bangsa Melayu yang juga diwakili hampir 99.9% orang Melayu dan beragama Islam . Perbezaan politik antara PAS dan UMNO ialah ideologi Islam dan Melayu. PAS mahu negara ini diperintah dibawah undang-undang syariah manakala UMNO pula iktirafkan Malaysia sebagai sebuah Negara Islam tetapi dalam masa yang sama mahu kepentingan Melayu dipertahankan. Dimanakah keperluan perpaduan yang diuar-uarkan oleh ejen propaganda UMNO?

Kesemua ahli kedua-dua parti berkenaan adalah Islam dan Melayu, maka apakah keperluan perpaduan?

Parti politik mempunyai ideologi masing-masing, dan menjadi asas buat pemimpin parti berkenaan menuju ke arah yang digariskan oleh dasar parti masing-masing. Tetapi bagi UMNO dan PAS mereka kini tidak sehaluan dengan ideologi dan dasar parti masing-masing kerana bagi UMNO walau apa dasar dan ideologi parti boleh diketepikan dahulu asalkan berkuasa.

Sokongan kaum bukan Melayu kian merosot terhadap pemerintah kerajaan kini atas alasan ekonomi, pentadbiran, rasuah, pelampau agama dan bangsa yang sering menggunakan pendekatan ekstrim. Maka parti pemerintah menggunakan pelbagai kaedah seperti menakutkan bukan Melayu dengan mengungkit sejarah lama 13 Mei dan komunis. Namun pemerintah kerajaan pula tidak mengambil tindakan keras terhadap pihak pro-UMNO yang sering mengeluarkan kenyataan-kenyataan berbaur hasutan terhadap kaum bukan Melayu.

Semua ini telah lenturkan kepercayaan terhadap parti UMNO dan parti gabungan lain seperti MIC, MCA, Gerakan, dan yang lain.

Sejauh mana perpaduan ala UMNO dan PAS ini bertahan? Pendapat saya ia hanya bertahan sehingga PAS berpecah fasa ke-3. Kini, PAS berada dalam proses berpecah fasa ke-2, dan ahli-ahli yang masih berpegang pada prinsip dan dasar ideologi PAS mula keluar dari parti kerana mereka tidak sehaluan dengan kepimpinan yang tidak ada prinsip yang nyata. PAS perlu lihat semula perpaduan dalaman Parti sebelum pecahan fasa ke-3.

Perpaduan yang ditaja UMNO berjaya memecahkan PAS. UMNO menggunakan pelbagai helah supaya PAS terperangkap dalam proses kononnya perpaduan itu. Janji-janji manis dan Islamik telah mengheret PAS terperangkap dalam helah UMNO, antaranya hukum Hudud yang dijanjikan akan dibentangkan dalam sidang Parlimen 2015.

Perpaduan yang amat diperlukan bukanlah perpaduan antara PAS dan UMNO, sebaliknya perpaduan masyarakat berbilang kaum. Namun perpaduan antara kaum majoriti dan minoriti semakin hari semakin rapuh akibat segelintir pelampau kaum dan agama yang membidas kaum lain secara terbuka.

Parti politik perlu memainkan peranan yang lebih bertanggungjawab terhadap penyatuan atau perpaduan pelbagai kaum supaya negara ini makmur dan maju. UMNO masih degil dan ingin mengekalkan kuasa pemerintah maka mereka politikkan perpaduan nasional dengan menyalahkan DAP sebagai agen pecah-belahkan kaum. PAS pula menyalahkan DAP bila tidak sependapat dengan PAS dalam isu hukum Hudud. DAP kini menghadapi pelbagai tuduhan, terbaru dalam PAU (Perhimpunan Agung UMNO) Presiden UMNO menyatakan DAP musuh Melayu.

Kenyataan yang tidak tanggungjawab ini secara jelas menampakkan bahawa UMNO lari dari isu perpaduan nasional dan lebih pentingkan kuasa.

Apakah pendirian 13 parti komponen BN terhadap isu yang dimainkan oleh UMNO dan PAS? Secara jelas boleh dikatakan bahawa 13 parti komponen bersama UMNO tidak lagi ada kuasa politik masing-masing sehingga membisu setiap kali pelampau pro-UMNO mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan yang bakal mengugat ketenteraman negara berbilang kaum ini.

Permainan politik perkauman yang dimainkan oleh UMNO sangat merbahaya kepada keamanan negara berbilang kaum. UMNO perlu hentikan polemik perpaduan UMNO dan PAS perlu serius terhadap perpaduan nasional kerana huru-hara boleh tercetus jika tidak ditangani segera.

PAS perlu balik pada pangkal jalan dan ideologi parti mereka seperti masa Allahyarham Tok Guru Nik Aziz, mursyidul am yang membawa perpaduan pelbagai kaum di peringkat nasional. walaupun UMNO cuba mengagalkan usaha itu, tok guru tetap berpegang kepada prinsip dan dasar parti PAS. Kegemilangan PAS hilang setelah Allahyarham Tok Guru meninggal dunia. Kini, parti PAS dalam menghadapi perpecahan berfasa.

Parti PAS perlu lebih tertumpu kepada membangunkan parti daripada terperangkap dalam sandiwara yang dimainkan oleh Umno iaitu perpaduan.

Jika kerajaan mahu pun parti pemerintah tidak hentikan isu perkauman, maka perbalahan kaum akan menjadi kenyataan dan kini menunggu detik masa. Perpaduan nasional sangat penting buat masa ini. Percaturan politik tanpa polemik kaum mahupun agama adalah satu-satu cara membina sebuah negara maju tanpa sebarang insiden perbalahan.

Sokong perpaduan nasional.

David Marshel merupakan ahli Majlis Perbandaran Seberang Perai

Di atas kepercayaan kebebasan bersuara tanpa wasangka, FMT cuba untuk berkongsi pandangan dengan pihak ketiga. Artikel yang disiarkan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mempunyai kaitan dengan FMT SUMBER

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...