TERKINI :

Thursday, January 21, 2016

'95 peratus rakyat Kedah sokong saya' - Mukhriz

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir mendakwa 95 peratus rakyat negeri itu menyokong kepimpinannya dan tiada sebab untuk menggantikan beliau.

Malah, Muhkriz berkata, gambaran diberikan media bahawa semua bahagian Umno di Kedah berpaling menentang beliau tidak benar kerana Jerlun yang diketuainya masih teguh menyokong.

Tetapi, kata Mukhriz, apa yang lebih penting adalah sokongan dua juta rakyat Kedah kepada beliau.

Menurut anak bekas perdana menteri itu, jawatan menteri besar yang disandang beliau sejak memenangi pada pilihan raya umum (PRU) ke-13 lalu adalah atas lantikan sultan.

"Letaklah siapa pun (calon MB) tapi sultan tidak perkenan, orang itu tidak akan dapat menjadi menteri besar," katanya dalam ucapan di Jerlun hari ini.

Kira-kira 500 hadir menyatakan sokongan mereka kepada Muhkriz yang kini menghadapi krisis kepimpinan di Kedah.

Ucapan Mukhriz juga sesekali diselangi laungan "Pecat Ahmad Bashah" dan "Kita lawan!" daripada penyokongnya.

Semalam Timbalan Ketua Perhubungan Umno Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanafiah mendakwa parti itu tidak lagi mempunyai keyakinan kepada kepimpinan Mukhriz.

Justeru Ahmad Bashah berkata, perdana menteri wajar campur tangan dengan menggantikan menteri besar dengan tokoh lain.

Rakyat tanya Mukhriz jawab

Mukhriz berkata, beliau akan kekal sebagai menteri besar selagi itu yang dimahukan rakyat dan sultan.

"Bukan cara saya untuk memohon atau melutut bagi mendapatkan jawatan ini kerana seseorang pemimpin mesti bermaruah. Saya dibesarkan dengan cara itu.

"Apabila Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi datang melawat saya baru-baru ini, saya memberitahu beliau, jika rakyat tidak lagi menyokong saya, saya sendiri akan meletakkan jawatan.

"Tetapi mereka masih mahukan saya. Tolong berikan saya sokongan anda kepada saya," katanya dalam ucapannya di Jerlun.

Dalam ucapannya itu juga Muhkriz mendedahkan mengapa beliau diserang oleh kepimpinan Umno.

Mukhriz berkata ia bukan disebabkan cara kepimpinan beliau lemah sebaliknya didorong oleh tindakannya mempersoalkan kepimpinan tertinggi Umno dalam beberapa isu kontroversi.

"Ada yang berkata, ia juga adalah kerana bapa saya," katanya merujuk kepada Tun Dr Mahathir Mohamad yang pernah mendesak supaya Najib dilantik sebagai perdana menteri sebelum menukar sikapnya menjadi pengkritik lantang tokoh berkenaan.

Bagaimanapun, kata Mukhriz, isu yang dibangkitkannya itu terus diperkatakan kerana ia ditanyakan oleh rakyat ke mana saja beliau pergi.

Ditanya sama ada beliau sudah bertemu dengan Dr Mahathir sejak krisis semalam terdedah, jawapan Mukhriz ialah: "Saya belum bercakap dengan beliau lagi."

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...