TERKINI :

Wednesday, January 27, 2016

Pengumuman AG ibarat Maharaja Lawak Mega - Mahfuz

Pengumuman peguam negara semalam tidak bermakna Perdana Menteri telah bebas daripada sebarang salah laku dalam isu penyaluran RM2.6 bilion ke akaun peribadinya, dakwa Ahli Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar.

Katanya, kes itu menunjukkan Tan Sri Mohamed Apandi Ali hanya menggunakan budi bicara untuk membebaskan Datuk Seri Najib Razak, sedangkan siasatan dijalankan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

"Ia bukan penentuan muktamad bahawa tiada salah laku dan pelanggaran undang-undang yang berlaku di dalam kes ini.

"Kita harus memahami bahawa penyiasatan di dalam kes ini bukanlah dijalankan oleh peguam negara, tetapi oleh SPRM," katanya pada kenyataan media hari ini.

Mahfuz berkata peguam negara tidak terikat untuk menuruti hasil siasatan dan cadangan SPRM serta berhak menolak pandangan suruhanjaya itu atas apa jua alasan dan hujah yang difikirkan munasabah.

"Saya berpendapat sekadar pengumuman yang dibuat oleh peguam negara semalam adalah tidak mencukupi untuk membersihkan nama perdana menteri dan imej negara ini.

"Peguam negara dan SPRM bertanggungjawab besar kepada negara untuk mendedahkan apakah sebenarnya hasil siasatan SPRM dan apakah rekomendasi yang dibuat hasil siasatan yang dijalankan sendiri oleh SPRM," ujarnya.

Selain itu, katanya, peguam negara juga gagal memberi penjelasan berhubung wang berjumlah RM42 juta daripada SRC International yang dikatakan telah dimasukkan ke akaun peribadi perdana menteri.

"Pengumuman semalam juga ibarat bermulanya "Maharaja Lawak Mega musim baru".

"Rakyat Malaysia menuntut kejujuran dan sikap terus terang dari peguam negara dan SPRM berhubung hal ini," katanya.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...