TERKINI :

Wednesday, January 13, 2016

Pembangkang perlu bersatu lawan BN

http://www.freemalaysiatoday.com/wp-content/uploads/2015/10/parti-pembangkang1.jpg

KANGAR - Semua parti pembangkang perlu ada satu persefahaman untuk berhadapan dengan BN khususnya di Perlis pada PRU14 nanti.

Timbalan Pengerusi PKR Perlis, Chan Ming Kai berkata, jika perkara itu tidak diperoleh, maka ia akan menyukarkan pembangkang untuk merampas kerusi Dun dari BN.

“Kalau pembangkang dan Pakatan Harapan mempunyai satu persetujuan untuk melakukan pertandingan satu lawan satu pada pilihan raya, ia mudah untuk kita tambah kerusi Dun.

“Tapi kalau berlaku pertandingan tiga penjuru, memang susah untuk pembangkang menambah mana-mana kerusi Dun atau parlimen di negeri ini,” katanya kepada Sinar Harian, hari ini.

Menurutnya, pembangkang perlu mempunyai satu gabungan dan persefahaman untuk menentang parti lawan.

“Kita perlu ada satu komunikasi yang jelas dan mencapai bersetujuan bersama dalam apa-apa isu semasa.

“Ini kerana rakyat juga inginkan satu perubahan. Tapi kalau pembangkang sendiri tidak dapat meyakinkan rakyat, ia akan menyusahkan rakyat untuk buat keputusan,” katanya.

Adun Indera Kayangan itu berkata, banyak isu yang timbul di Perlis, terutama membabitkan soal kemajuan dan pembangunan.

“Selepas setahun Sukan Malaysia (Sukma) Perlis 2014 berlalu, saya lihat masih tidak ada sebarang perubahan yang berlaku dan fasiliti semasa Sukma juga tidak digunakan.

“Tiada pembangunan baru dilakukan kerajaan negeri selain terpaksa menanggung kos yang tinggi dan cukai tanah pula meningkat mulai 2016,” katanya.

Ujarnya, isu-isu yang berlaku di Perlis kebanyakannya memberi kesan dan bebanan kepada rakyat secara keseluruhan.

“Banyak perkara yang berlaku tidak adil kepada rakyat yang masing-masing berpendapatan rendah. Kerajaan negeri pula menaikkan cukai tanah 10 peratus bagi kediaman dan komersil.

“Manakala bagi tanah-tanah perindustrian 40 hektar ke atas pula dinaikkan 10 peratus dan 40 hektar ke bawah dikekalkan,” katanya.

Tambahnya, pembangkang mampu menambah lebih banyak kerusi Dun Perlis pada PRU14 jika mereka dapat mencapai persetujuan.

“Walaupun Pas tidak mahu bersama gabungan Pakatan Harapan, tapi kita mengharapkan ia dapat mencapai satu persefahaman bagi mengelak berlaku pertandingan tiga penjuru.

“Bagaimanapun, soal pembahagian kerusi Dun di Perlis masih belum dibincangkan di peringkat Pakatan Harapan,” katanya.

Pada PRU13 lalu, PR ketika itu memenangi dua dari 15 kerusi Dun iaitu Indera Kayangan dan Sanglang.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...