TERKINI :

Thursday, January 14, 2016

Pembangkang berpecah bukan bererti lemah

SEMPORNA - Pemimpin dan ahli Umno diingatkan supaya tidak terpedaya dengan sandiwara parti pembangkang yang dilihat sering bergolak sesama sendiri.

Naib Presidennya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, walaupun Pakatan Rakyat sudah berpecah, namun ia tidak bermakna parti pembangkang itu lemah untuk menghadapi PRU14.

"Jangan anggap pembangkang itu berbalah dan berpecah, kerana kemungkinan itu kita (Umno) boleh menang dengan mudah.

"Kita perlu ambil iktibar bahawa tidak bererti kelemahan parti pembangkang itu menjadi kelebihan (Umno), kita juga perlu perkuatkan perjuangkan kita," katanya kepada pemberita selepas memberikan taklimat kepada Ketua-Ketua Umno Cawangan Semporna serta menyerahkan bantuan dan sumbangan kelengkapan persekolahan, hari ini.

Isnin lalu, Naib Pengerusi DAP Selangor, Datuk Teng Chang Khim, mengisytiharkan bahawa Pas sebagai musuh utama parti itu.

Kata Chang Kim, ia susulan kenyataan Naib Presiden Pas, Datuk Iskandar Abdul Samad, pada Ahad lepas yang menganggap DAP sebagai musuh parti berkenaan.

Dalam pada itu, Mohd Shafie juga mengingatkan wakil rakyat Umno supaya melaksanakan tugas dan amanah kepada rakyat jika tidak mahu hilang sokongan pada PRU14. SH

"Jangan hanya mengejar projek, mengejar naik pangkat, mengejar naik jawatan.

"Kalau kita tidak melaksanakan amanah ini dengan baik, sudah pasti ianya akan mengubah sokongan (PRU14)," katanya lagi.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...