TERKINI :

Friday, January 29, 2016

Pelantikan Apandi ke TH: kegilaan apakah ini?

Peguam Negara (AG) Tan Sri Mohd Apandi Ali baru sahaja memberikan keputusan ‘membebaskan’ Datuk Seri Najib Razak daripada segala kesalahan jenayah yang bersabit dengan derma RM2.6 bilion.

Walaupun seluruh dunia mengatakan sebaliknya, Najib pada hakikatnya telah diberikan 'sentuhan maut' oleh Apandi.

Pastinya Najib sedang tersengih waktu ini.

Dalam keghairahan dan masih dalam suasana meraikan ‘pembebasan’ itu, Najib ditanggapi telah mengarahkan Tabung Haji untuk melantik Apandi sebagai ahli lembaga pengarahnya, sebelum sempat debu-debu berantakan terhadap keputusan itu mendap.

Tidak ada sesiapa yang boleh dipersalahkan jika mereka mempunyai prasangka dan mentafsirkan bahawa lantikan Apandi di Tabung Haji itu sebagai habuan yang sangat lumayan buat kerja yang baru dilunaskan.

Tindakan Najib itu adalah satu yang amat jelik.

Malah sebenarnya tindakan itu adalah amat merendah martabatnya dan tentunya Najib tidak boleh lagi mengecapi untuk bercakap tentang moral dan integriti yang tinggi selepas ini.

Apakah pelantikan itu terlalu mendesak sehingga tergesa-gesa, sebelum tempoh pelantikan Apandi sebagai AG berakhir, yang kebetulan hanya berbaki dua bulan lagi?

Mungkinkah jua beliau disambung berkhidmat?

Justeru, bukankah ini memungkinkan wujud konflik peranan, Apandi selaku peguam negara hanya pendakwa dalam sistem perundangan Malaysia.

Lebih-lebih lagi dalam kes-kes yang melibatkan kedudukan Tabung Haji yang berdepan dengan pendakwaan kritikal dan amat serius.

Bukankah telah menjadi persetujuan umum bahawa penjawat awam yang berjawatan tertinggi tidak seharusnya diberi ganjaran dengan sesuatu jawatan dan kedudukan setelah persaraan terutama dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) kerana ia ditanggapi awam sebagai amalan nepotisme dan politik naungan?

Walaupun Najib punya kuasa mutlak di Putrajaya dan beliau boleh bertindak secara wewenang akan apa sahaja dan bila masa, tanpa kekangan, tetapi beliau harus tahu bahawa rakyat juga berkuasa berbuat demikian apabila tiba masanya.

Mengapa terus-terusan menghina dan mendera rakyat bila kita sudah pun tersungkur dengan pukulan mautmu, wahai PM?

DR DZULKEFLY AHMAD pengarah strategi Parti Amanah Negara (AMANAH).

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...