TERKINI :

Wednesday, January 20, 2016

Pas, Umno masih mempunyai pengundi Melayu terbesar

Umno Pas
SHAH ALAM - Pakatan Harapan khususnya Amanah dijangka melalui laluan sukar untuk mengekalkan sokongan pengundi Melayu kepada mereka susulan majoritinya merupakan penyokong tradisi Pas dan Umno.

Ketua Kluster Politik, Keselamatan dan Hal Ehwal Antarabangsa, Majlis Profesor Negara (MPN), Prof. Datuk Dr. Mohamed Mustafa Ishak berkata dasar Pakatan Harapan yang tidak jelas tidak membantu untuk meyakinkan pengundi Melayu terhadap mereka.

Beliau berkata, sokongan orang Melayu khususnya di luar bandar yang menjadi kubu kuat Pas dan Umno mungkin berubah sekiranya mereka sendiri menolak parti pra-kemerdekaan itu.

"Mustahil Pakatan Harapan dapat sokongan Melayu secara total orang Melayu ramai di kawasan pinggir bandar dan luar bandar yang masih dikuasai oleh Umno dan Pas.

"Saya tidak fikir mereka sudah sampai ke tahap itu, kerana Umno dan Pas itu kuat kerana ada pengundi tradisinya," katanya kepada Sinar Online.

Mengulas lanjut, Mohamed Mustafa juga berkata, Pakatan Harapan hanya mampu meraih sokongan undi Melayu di bandar dan pinggir bandar yang terdiri daripada Melayu liberal dan dalam kelas pertengahan.

Saya fikir barangkali pembangkang hanya boleh dapat sokongan orang Melayu yang selama ini menolak Umno.

"Itu barangkali dapat tapi tidak 100 peratus..tapi orang Melayu yang besarnya dalam Pas dan Umno, itu saya tak fikir mereka boleh tarik (sokongan)," jelasnya.

Beliau berkata lagi, keupayaan parti serpihan Pas, atau Amanah masih belum teruji dalam pilihan raya lagi dan kekuatannya untuk mengambil alih peranan Umno dalam kawasan kubu kuatnya masih diragui.

"Bolehkah Amanah mengambil alih peranan Umno di Johor? Tak mungkin..di Kelantan, bolehkah Amanah ambil alih peranan Umno di Kelantan? Saya ingat sukar.

"Amanah sendiri bergantung kepada pengundi bukan Melayu dan sebahagian pengundi Melayu bandar atau kawasan campuran di mana pengundi bukan Melayu besar," katanya.

Sementara itu, penganalisis politik Institut Darul Ehsan (IDE), Prof Madya Dr Shaharuddin Badaruddin pula tidak menafikan kelebihan Pas mempunyai pengundi Melayu tradisi yang besar selepas Umno.

Bagaimanapun beliau berkata Pas perlu memilih untuk berpihak sama ada kepada Umno atau Pakatan Harapan jika tidak mahu kehilangan sokongan itu menjelang PRU14 akan datang.

"Sejarah membuktikan bahawa Pas menang dalam pilihan raya kerana adanya kerjasama dengan semua pihak.

"Kerjasama barisan pembangkang sejak 1990 sampai sekarang ini yang telah menunjukkan kejayaan-kejayaannya," ujarnya.

Bekas pensyarah Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu berkata lagi, Pas boleh kehilangan sokongan pengundi Melayu jika bertembung dengan Umno di tempat sama.

"Dalam politik Malaysia, kita kena lebih praktikal, Umno bersaing dengan Pas atau Pas bersaing dengan Umno di tempat yang sama.

"Sudikah Umno bekerjasama dengan Pas atau sudikah Umno berikan kerusi-kerusinya kepada Pas untuk ditandingi kalau mereka bekerjasama?" soalnya.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...