TERKINI :

Wednesday, January 20, 2016

Pas Kelantan nafi campur urusan PKR, Amanah

Che Abdullah Mat Nawi
KOTA BHARU - Pas Kelantan hari ini menegaskan parti itu tidak pernah mencampuri urusan antara PKR dengan Parti Amanah Rakyat (Amanah) dalam Pakatan Harapan.

Setiausaha Badan Perhubungan Pas Kelantan Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata surat yang dihantar kepada Setiausaha Agung PKR Rafizi Ramli baru-baru ini adalah untuk menzahirkan rasa dukacita parti terhadap penyertaan PKR dalam majlis anjuran Amanah di Kelantan sahaja.

"Kami rasa tak campur apa-apa. Kami sebut perasaan (dukacita) dan apa yang menjadi kebimbangan kami, terutama perasaan anggota parti di peringkat akar umbi apabila mereka melihat bagaimana PKR yang ada tahaluf siyasi (kerjasama politik) dengan Pas, sama-sama membentuk kerajaan di Kelantan, tiba-tiba berada atas pentas Amanah yang nak jatuhkan kerajaan (Pas) Kelantan.

"Kami tak boleh halang (PKR nak buat majlis di Kelantan), cuma kami rasa dukacita bila (PKR) buat majlis bersama dengan Amanah di Kelantan," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas menghadiri majlis menandatangani perjanjian usahasama Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan bersama-sama Jalur Saujana Sdn Bhd dan ICT Incubator Centre Sdn Bhd di Kompleks Kota Darul Naim, di sini hari ini. Turut hadir Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob.

Ketua Dewan Ulamak Pas Pusat Datuk Mohd Khairuddin Aman Razali dipetik sebagai berkata parti itu bersedia memutuskan kerjasama politiknya dengan PKR jika ia melakukan sabotaj bersama DAP di kawasan yang didominasinya.

Berikutan itu, Rafizi, yang menghadiri majlis anjuran Amanah di Kelantan itu, dilaporkan berkata PKR akan mengadakan perbincangan di belakang tabir bersama-sama Pas.

Che Abdullah berkata Pas Kelantan sentiasa memberitahu Pas Pusat tentang perkembangan terkini berkaitan hubungan antara PKR dan Amanah di Kelantan supaya ia boleh buat keputusan. - Bernama

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...