TERKINI :

Saturday, January 2, 2016

Pas 'izin' ahli hadir majlis, asal beri kebaikan

Tuan Ibrahim Tuan Man

KUALA LUMPUR - Semua ahli Pas tidak dihalang menghadiri‎ mana-mana jemputan selagi ia selaras dengan pendirian parti, kata Timbalan Presidennya Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Bagaimanapun, katanya mereka perlu memastikan majlis yang dihadiri itu boleh membawa kebaikan kepada parti.

"Ahli Pas boleh hadir mana sahaja jemputan selagi kehadirannya untuk menyampaikan risalah Islam, menyuruh yang makruf dan menentang yang mungkar," katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Beliau mengulas kehadiran bekas Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa dalam majlis makan malam anjuran parti Amanah, di sini semalam.

Husam, yang juga Adun Salor di Kelantan, ketika berucap pada majlis itu berkata kehadirannya ke majlis itu adalah selaras dengan ketetapan parti yang 'mengizinkan' anggotanya untuk hadir ke mana-mana majlis parti lain.

Tuan Ibrahim berkata kebiasaanya Pas akan menilai setiap jemputan yang diterima, dan perkara itu dibawa ke dalam mesyuarat dalaman parti untuk menimbang kehadiran mana-mana anggota ke majlis berkenaan.

Selain itu, katanya ahli Pas turut bertanggungjawab mempertahankan parti daripada segala tohmahan buruk pihak luar terhadap parti‎ itu.

"Adalah menjadi tanggungjawab semua anggota parti untuk mempertahan tohmahan buruk pihak di luar parti dan membetulkan persepsi terhadap parti," katanya. - Bernama

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...