TERKINI :

Sunday, January 3, 2016

PAS dakwa PKR khianati Tahaluf Siyasi

KUALA LUMPUR: Tahaluf siyasi antara PAS dan PKR dilihat semakin meruncing apabila PAS mendakwa PKR cuba mengkhianati parti itu, berikutan kenyataan kepemimpinan tertinggi yang membayangkan untuk tidak menjalinkan kerjasama dalam Pilihan Raya Negeri Sarawak.

Pengarah Operasi Pusat Penyelidikan PAS, Dr Mohd Zuhdi Marzuki, berkata berdasarkan kenyataan terbaharu Presiden PKR, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, PKR sudah mula menunjukkan tanda-tanda akan mengkhianati PAS di masa depan.

Katanya, walaupun sehingga hari ini PAS masih tidak memutuskan hubungan tahaluf dengan PKR sebagaimana terputusnya hubungan antara PAS dan DAP, PKR secara jelas sudah mula mahu mengetepikan PAS untuk bertanding di Sarawak.

"Pusat Penyelidikan PAS mengalu-alukan keputusan itu kerana PAS kini lebih bebas untuk bertanding mana-mana kerusi yang difikirkan perlu termasuk kemungkinan bertembung dengan PKR. "Sekiranya dalam Pilihan Raya Negeri Sarawak yang lalu, PAS hanya bertanding di lima kerusi DUN (Dewan Undangan Negeri).... dengan keputusan Dr Wan Azizah, PAS lebih bebas menentukan kerusi yang mahu ditandingi kerana tidak lagi terikat dengan PKR," katanya kepada BH.

Isnin lalu, Dr Wan Azizah yang juga Ketua Pembangkang membayangkan untuk tidak bekerjasama dengan PAS dalam Pilihan Raya Negeri Sarawak atas alasan parti sekutu mereka itu tidak mempunyai pengaruh kuat kerana tidak memiliki sebarang kerusi di negeri itu, selain komitmen pimpinan PKR Sarawak yang lebih kepada Pakatan Harapan. Kenyataan Dr Wan Azizah itu mendapat reaksi daripada pimpinan PAS di Sarawak yang menyifatkannya sebagai kenyataan tidak demokratik dan tidak cermat.

Kelmarin, Pesuruhjaya PAS Sarawak, Jofri Jaraiee dalam satu kenyataan menegaskan bahawa parti itu akan bertanding sekurang-kurangnya di 11 kerusi DUN, tambahan enam kerusi berbanding pilihan raya lalu termasuk kerusi bandar yang biasa ditandingi DAP.

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/107771?m=1

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...