TERKINI :

Friday, January 8, 2016

PAS berdiri di mana sekarang?

KUALA LUMPUR, 6 Januari

pas_logo_L-1
Parti Amanah Negara (Amanah) berpendapat, keputusan Majlis Syura Ulamak PAS untuk tidak menyertai atau bergabung dengan Umno, menjadikan keadaan bertambah kusut dan tidak jelas.

Sehubungan itu, Pengarah Strategi Amanah, Dr Dzulkefly Ahmad mahu PAS membuat keputusan lebih tegas dan menyatakan pendirian sebenar parti Islam itu berhubung isu terbabit, bagi mengelakkan ahli akar umbi dan orang ramai terus keliru.

Ini kerana, jelasnya, dalam politik Islam, aspek penting yang perlu ditekankan ialah prinsip at-Tadaafuq (semak-imbang) yang wujud dalam bentuk persaingan dan ia berlaku ketika pilihan raya.
“Jadi, PAS berdiri di mana sekarang? Ini kerana, politik negara kita mengamalkan sistem pelbagai parti dan pilihan raya berkala, yang mana ia ada penyandang dan penentang.

“Kalau nak jadi pengadil atau penjaga garisan, maka PAS perlu berada di luar gelanggang.

“Tetapi, kalau PAS nak bersama Umno, silakan. Tapi, kalau nak bersama-sama dengan Pakatan Harapan (PH) untuk tumbangkan Umno, juga dipersilakan, kerana dalam politik kena ada kejelasan,” tegasnya kepada The Rakyat Post hari ini.

Setiausaha Majlis Syura Ulamak PAS, Datuk Dr Nik Mohd Zawawi Salleh dalam satu kenyataan hari ini berkata, PAS tetap akan meneruskan agenda kerjasama dengan mana-mana pihak dalam perkara kebaikan dan ketaqwaan, demi memperkukuhkan Islam dan perjuangannya.

Sementara itu, Naib Presiden PKR, Tian Chua yakin PAS tidak akan bekerjasama atau menyertai Barisan Nasional (BN) sebagai parti komponen.

Menurut Ahli Parlimen Batu itu lagi, disebabkan keyakinan itulah, PKR mengekalkan tahaluf siyasi atau kerjasama politik dengan PAS.

Jelasnya, kerjasama itu diharap dapat memberikan barisan pembangkang peluang untuk menumbangkan BN pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

“Untuk memujuk PAS menyertai PH, PKR sentiasa fleksibel, sama ada untuk berada dalam barisan sama dengan PAS, namun ia terpulang kepada konsensus dua parti lain.

“Kita tidak boleh paksa PAS untuk sambung perhubungan dengan DAP dan Amanah, kita kena hormat pendirian tersebut, tetapi dari awal lagi, PKR dan PAS tidak ada masalah untuk bekerjasama melawan BN.

“Secara keseluruhan, kaedah bekerjasama itu akan kita bincang dengan pimpinan semua parti dan PKR tak boleh buat keputusan.

“PKR sentiasa ambil sikap untuk bergabung dengan semua parti politik pembangkang yang ada, termasuk parti dari Sabah, Sarawak dan juga NGO, untuk memastikan barisan pembangkang yang inklusif bagi menentang BN,” katanya ketika dihubungi.


Read more: http://bm.therakyatpost.com/berita/2016/01/06/keputusan-majlis-syura-jadikan-keadaan-lebih-kusut-tak-jelas/#ixzz3waihLHUJ

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...