TERKINI :

Monday, January 25, 2016

PAS amalkan politik kotor Umno fitnah DAP, kata Guan Eng

Bingung dengan kenyataan kononnya DAP menyokong perjanjian Perkongsian Trans Pasifik (TPPA), parti itu menyifatkan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengamalkan politik kotor seperti Umno kerana membuat kenyataan fitnah.

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata, pihaknya mengulangi beberapa kali mereka menentang TPPA kerana kesan terhadap rakyat Malaysia dan perniagaan kecil-kecilan. Namun Hadi dalam sebuah video baru-baru ini mengatakan DAP menyokong perjanjian perdagangan itu kerana "perdagangan dikawal Cina di Malaysia".

"Bagi seorang pemimpin PAS untuk mengatakan perkara yang tidak benar dan tidak berasas itu menunjukkan PAS kini bukan sahaja bekerjasama dengan Umno tetapi juga mengamalkan politik kotor Umno, iaitu fitnah terhadap DAP."

Ahli Parlimen Bagan itu berkata, TPPA bukan tentang kaum dan agama, tetapi kesan ekonomi ke atas rakyat Malaysia.

Lim berkata, PAS sepatutnya menumpukan kritikan terhadap Umno, kerana parti Melayu itu yang mahukan TPPA dilaksanakan di Malaysia.

Katanya, PAS, yang dikenali sebagai "penasihat" Barisan Nasional (BN), perlu menjelaskan mengapa gagal menasihatkan Putrajaya agar tidak menandatangani perjanjian itu.

"Menggunakan logik Hadi, mestilah Cina juga yang memulakan TPPA di Parlimen. "Mengapa tidak Hadi terus bekerjasama dengan Umno dan nasihat Kerajaan Persekutuan BN?" soal Lim.

Minggu lalu, Lim berkata, DAP akan menyertai ahli Parlimen Pakatan Harapan, PKR dan Parti Amanah Negara (Amanah) untuk menolak TPPA sekiranya dibahaskan di Dewan Rakyat. – 25 Januari, 2016.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...