TERKINI :

Monday, January 11, 2016

Pakatan Harapan tidak akan layan PAS, tumpu kepada isu rakyat

Terdapat beberapa peristiwa penting akan berlaku memberi kesan besar kepada rakyat dan mereka mengambil pendirian untuk tidak terjebak dalam polemik politik yang dianggap tidak berkesudahan, kata Majlis Setiausaha Pakatan Harapan. – Gambar fail The Malaysian Insider, 10 Januari, 2016.
Pakatan Harapan tidak akan melayan kritikan PAS dan akan fokus kepada isu kebajikan rakyat yang tertekan dengan dasar pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Perkara itu diputuskan Majlis Setiausaha Pakatan Harapan walaupun terdapat kenyataan yang menyentuh secara langsung mengenai parti-parti dalam gabungan itu sewaktu berlangsungnya Ijtima Pilihan Raya PAS Selangor hari ini.

"Perkara paling penting dalam negara ini ialah untuk menghentikan kemudaratan kepada rakyat akibat daripada pentadbiran Najib bagi meringankan beban rakyat," kata Majlis Setiausaha Pakatan Harapan dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Pakatan Harapan, terdapat beberapa peristiwa penting akan berlaku memberi kesan besar kepada rakyat dan mereka mengambil pendirian untuk tidak terjebak dalam polemik politik yang dianggap tidak berkesudahan itu.

"Akan ada proses semakan semula belanjawan kerajaan Persekutuan 2016 yang terpaksa dibentangkan semula Najib kerana unjuran pendapatan kerajaan persekutuan kini todak lagi dapat menampung perbelanjaan.

"Satu lagi peristiwa penting ialah sidang khas Parlimen pada 26 dan 27 Januari untuk membahaskan Perjanjian Perkongsian Trans Pasifik (TPPA) yang bawa kesan besar kepada rakyat," kata kenyataan itu.

Menurut Pakatan Harapan, polemik politik yang berlebihan itu hanya akan mengundang rasa tidak senang hati kepada rakyat dan memberikan keuntungan kepada perdana menteri sedia ada untuk kekal berkuasa.

"Oleh yang demikian, mengambil semangat kesatuan politik di antara PKR, DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah) yang dimeterai dalam perjanjian Pakatan Harapan semalam, Majlis Setiausaha mengambil pendirian supaya semua pimpinan Pakatan Harapan tidak terjebak dalam polemik politik yang tidak berkesudahan ini," kata kenyataan itu.

‎Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengatakan hari ini PAS tidak gentar dengan Pakatan Harapan dan ia bukanlah ancaman kepada parti Islam itu.

Menurut presiden PAS itu, partinya paling berpengalaman di Malaysia dan menjadi semakin kuat sejak ditubuhkan.

“PAS parti paling berpengalaman sebelum merdeka dan sejak merdeka,” kata Hadi seperti dilaporkan The Star Online. – 10 Januari, 2016.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/pakatan-harapan-tidak-akan-layan-pas-tumpu-kepada-isu-rakyat#sthash.A8LAuewY.dpuf

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...