TERKINI :

Tuesday, January 19, 2016

Nasrudin vs LGE: Rumah siap pahat berbunyi

Rumah siap pahat berbunyi.

Begitulah ibarat apa yang berlaku dalam kes Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng melawan pemimpin PAS Nasrudin Hassan yang selesai di luar mahkamah semalam.

Semuanya bermula selepas Nasrudin menulis artikel enam perenggan selepas kes itu, yang antara lain menegaskan tidak memohon maaf kepada Lim setelah didakwa memfitnahnya.

Tulisan itu bagaimanapun hari ini mengundang rasa tidak puas hati pegawai khas undang-undang ketua menteri Raja Syarafina Raja Shuib.

Dalam kenyataannya, Raja Syarafina berkata sama ada rencana itu ditulis dalam kealpaan atau kecuaian disengajakan, Nasrudin tidak harus memutar-belit fakta atau “memperlekehkan kebenaran dalam usaha beliau untuk menegakkan benang yang basah”.

“Sekiranya YB Ustaz Nasrudin yakin bahawa artikel tersebut bukan merupakan fitnah terhadap YAB KM, mengapa pula terdapatnya persetujuan beliau untuk menyuarakan kekesalan dan membayar kos kepada YAB KM?

“Fikirkanlah siapa sebenarnya yang berdusta,” tulisnya.

Beliau juga berkata Lim tidak akan teragak-agak mengambil tindakan undang-undang sewajarnya jika masih ada “putar-belit” berhubung penyelesaian damai tersebut.

Nasrudin, anggota parlimen Temerloh, menarik balik sebahagian daripada kenyataannya pada 6 Ogos 2014 yang menyebabkan Lim tersinggung.

Nasrudin berkata beliau kesal kerana artikel berhubung pembinaan terowong dasar laut itu telah menyebabkan salah faham dengan Lim.

Persetujuan bersama itu direkodkan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Lim Chong Fong di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang.

Mahkamah juga memerintahkan Nasrudin membayar RM10,000 sebagai pampasan kepada Lim.

Lim menyaman Nasrudin kerana mendakwanya menggunakan rundingan terus untuk penganugerahan projek RM4.63 bilion kepada Konsortium Zenith BUCG Bhd walaupun Pakatan Rakyat menentang cara itu.

Ketua penerangan PAS itu juga mempersoalkan "perbelanjaan berlebihan" Lim sebagai tidak perlu apabila Pulau Pinang mencatatkan bajet defisit enam tahun berturut-turut.

Tulisan Nasrudin “Catatan Dari Mahkamah Tinggi Georgetown: Kes diselesaikan di luar mahkamah”, semalam menyebut beliau pada mulanya memutuskan tidak akan memohon maaf dan mengarahkan peguam meneruskan perbicaraan.

Sepuluh minit selepas itu, beliau berkata dipanggil sekali lagi untuk mediasi luar mahkamah tetapi tetap menegaskan tidak akan memohon maaf.

Beliau menegaskan, dalam rundingan selepas itu barulah penyelesaian dicapai tanpa beliau memohon maaf dan tidak memanjangkan kes, serta menarik balik pada sebahagian isi artikel yang menimbulkan salah faham.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...