TERKINI :

Thursday, January 28, 2016

Najib bersalah jika Umno dijatuhkan pembangkang, kata veteran Umno

Kemelut jawatan menteri besar Kedah perlu diselesaikan segera Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak yang menjejaskan kekuatan Umno di Kedah. – Gambar fail The Malaysian Insider, 28 Januari, 2016.
Seorang pemimpin veteran Umno Kedah Datuk Mohd Shariff Abu Samah mengatakan Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak wajar dipersalahkan jika Barisan Nasional (BN) dijatuhkan pembangkang selepas ini kerana menjadi punca kemelut politik negeri tersebut.

Shariff, 74, yang sudah berkhidmat selama 36 tahun dalam pentadbiran negeri berkata kemelut politik yang dihadapi kali ini adalah terburuk pernah berlaku.

"Saya sudah berkhidmat selama 36 tahun dalam kerajaan negeri dan belum pernah melihat krisis sebegini di Kedah.

"Jika Najib lambat membuat keputusan dalam kemelut ini, Umno akan bungkus kerana beliau (Najib) membuat rakyat tertanya-tanya," katanya semasa ditemui di perkarangan Istana Anak Bukit, Kedah pagi tadi.

Shariff berkata Najib selaku presiden parti perlu membuat pengumuman dan keputusan segera sama ada mahu menukar menteri besar baharu atau tidak kerana rakyat negeri tersebut sudah penat dengan kemelut melanda.

"Najib perlu buat pengumuman segera sama ada mahu tukar menteri besar Kedah atau tidak. Keputusan itu penting," katanya lagi.

Beliau menyelar tindakan 6 ahli mesyuarat kerajaan negeri (exco) yang tidak hadir ke mesyuarat bersama Menteri Besar Datuk Seri Mukhriz Mahathir semalam.

"Tindakan 6 exco itu dianggap biadab. Mereka tidak seharusnya mengeruhkan lagi keadaan sekarang.

"Ia hanya memburukkan lagi keadaan. Ini tak elok," jelasnya.

Semalam, hanya 3 exco hadir, iaitu Exco Pembangunan Wanita, Pertanian dan Asas Tani, Pembangunan Usahawan, Kebajikan Wanita Datuk Suraya Yaacob; Exco Sains, Inovasi dan Teknologi dan Sumber Maklumat Datuk Norsabrina Mohd Noor; dan Exco Belia dan Sukan, Kesenian dan Kebudayaan, Pembangunan Insan, Aminuddin Omar.

Mukhriz, yang juga menteri besar penggal pertama ketika ini berdepan penentangan Umno negeri apabila sekumpulan pemimpin Umno diketuai Timbalan Pengerusi Perhubungan Datuk Ahmad Bashah Hanipah pada Rabu lepas menyatakan hilang keyakinan dan memintanya berundur daripada jawatan menteri besar.

Dalam perkembangan terkini, media dilaporkan pengakuan bersumpah juga berjaya dikutip daripada 19 wakil rakyat Umno yang menyatakan tidak lagi menyokong Mukhriz. – 28 Januari, 2016.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/najib-bersalah-jika-umno-dijatuhkan-pembangkang-kata-veteran-umno#sthash.Dmqz5O4D.dpuf

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...