TERKINI :

Thursday, January 14, 2016

Malaysia, tiada kepimpinan yang layak!

 leader
Pemimpin yang ada sekarang hanya pandai berkata-kata, ada yang katanya berbunga-bunga, ada yang katanya berharapan, ada yang katanya berkeyakinan tetapi kebanyakannya, hanya berbuih dan berbau.

Tak kiralah, yang memerintah atau yang membangkang, rata-rata ahli politik hanya mahu menjaga kepentingan peribadi. Kalau lebih daripada itu pun, kepentingan parti, itu sahaja.

Saya merasakan, kita tidak mempunyai pemimpin yang benar-benar layak untuk memacu semula sosio-ekonomi negara yang semakin suram ini.

Sekarang, kita sibuk menyerang kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak, anak kepada bekas Perdana Menteri kedua Malaysia, yang terpalit pelbagai skandal politik dan kewangan.

Dan saya tahu, selagi tidak dibuktikan, tiada yang bersalah, jadi saya tidak mahu bersikap judgemental di sini.

Bagaimana pula dengan pakatan politik alternatif? Selepas berjaya merampas kerajaan di dua negeri penyumbang ekonomi utama, Selangor dan Pulau Pinang, serta Kelantan, apa halatuju kepimpinan yang ditunjukkan oleh mereka?

Saya akui kebanyakan pemimpin kecuali beberapa kerat, mempunyai nilai kepimpinan yang tinggi dan niat yang baik. Namun persoalan saya ialah sejauh mana parti-parti ini efisien, selaras dan padu dalam membawa perubahan kepada negara?

Melihat kedudukan semasa, sememangnya pihak pembangkang (sepatutnya) mempunyai peluang yang cerah bersaing secara sihat dan mungkin menang dalam pilihan raya. Tetapi, memandangkan pergolakkan politik dalaman pembangkang itu sendiri, saya khuatir tentang ketahanan mereka sebagai satu pakatan politik.

Pihak pembangkang di Malaysia, mereka bermula dengan baik, tetapi perjalanan mereka tidak sebaik yang diharapkan apabila ia dipenuhi dengan pelbagai diversion dan sekatan. Parti Pakatan Rakyat atau Parti Harapan Rakyat atau apa sahaja namanya lagi pada masa hadapan, parti ini seperti tiada apa-apa untuk rakyat.

Ya, persoalan yang paling asas, siapa yang akan menjadi Perdana Menteri (PM), Timbalan PM dan parti mana yang menjadi parti utama jika, saya ulangi, jika pembangkang berkuasa? Semuanya masih kabur dalam kalangan pakatan pembangkang, seraya menunjukkan ketidakserasian antara mereka.

Walaupun pemerintah nasional kelihatan lemah, sekurang-kurangnya mereka masih mempunyai hierarki kuasa yang jelas. Bagaimanapun, pembangkang tidak menunjukkan organisasi kuasa yang jelas meskipun mereka meletakkan seorang banduan sebagai calon Perdana Menteri mereka.

Di kala pakatan alternatif masih terkapai-kapai, pemerintah nasional sudahpun memulakan gerak kerja untuk pilihan raya akan datang. Di Sarawak, jentera mereka menular ke serata negeri. Di peringkat nasional, iklan propaganda Klinik 1Malaysia dan Kedai Rakyat 1Malaysia dimainkan setiap hari.

Saya harap pihak pembangkang akan tampil dengan gabungan yang konkrit dalam masa terdekat supaya ia tidak dipintas oleh parti pemerintah yang pada hakikatnya lemah.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...