TERKINI :

Friday, January 22, 2016

Mahfuz - Desakan undur Mukhriz drama arahan ‘Najib’

PETALING JAYA: Desakan supaya Datuk Seri Mukhriz Mahathir meletak jawatan sebagai Menteri Besar Kedah hanyalah drama yang diarah sendiri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Dakwaan itu dibuat oleh Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar yang mengulas pendedahan dan pengakuan yang dibuat Ketua Wanita UMNO Kedah, Datuk Maznah Hamid yang menyatakan beliau tidak mengetahui sidang media yang disertainya itu.

Menurut Mahfuz, tindakan itu jelas menunjukkan satu penipuan untuk merampas kuasa secara tidak demokratik dan amat memalukan.

“Tindakan UMNO Kedah yang diketuai Datuk Bashah menyatakan hilang kepercayaan terhadap Mukhriz sebagai Menteri Besar Kedah dan Pengerusi UMNO Kedah akhirnya mendedahkan berbagai-bagai kejadian tipu muslihat yang dilakukan oleh mereka yang menganjurkan sidang media untuk menjatuhkan Mukhriz.

“Sidang media tersebut adalah satu usaha yang didramatik dalam episod drama bersiri yang diarah sendiri oleh Najib. Petang ini, 22 Januari 2016 Najib akan mengadakan pertemuan dengan semua pelakon dan pelakon tambahan di studio PWTC untuk memberi arahan agar menghafal skrip baru sebagai penamat drama bersiri ini,” katanya dalam satu kenyataan dibuat hari ini.

Mengulas lanjut, Mahfuz berkata, rampasan kuasa daripada kepimpinan Mukhriz itu tidak akan dapat menyelesaikan masalah yang sedang dihadapi rakyat dan negara.

“Rakyat yang berdepan krisis kepercayaan terhadap Najib dengan 1MDB, GST, TPPA, nilai ringgit rendah, kos sara hidup rakyat dan rasuah.

“Saya mengharapkan pertemuan kepimpinan UMNO Kedah dengan Najib pada jam 4 petang hari ini akan digunakan oleh mereka untuk menyatakan hilang kepercayaan mereka kepada Najib sebagai Perdana Menteri dan Presiden UMNO,” katanya.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...